15 November 2023, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia menghantar pasukan perubatan ke Gaza, Palestin sebaik sahaja kebenaran diberikan.

KKM memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengenal pasti pasukan yang boleh dimobilisasikan, namun penghantaran pasukan perubatan ke Gaza belum dapat dilaksanakan kerana masih tidak dibenarkan ekoran peperangan yang masih berlaku di Semenanjung Gaza.

Pasukan perubatan itu didedahkan dengan latihan persediaan yang bersesuaian kerana mereka akan merawat jumlah mangsa bencana peperangan yang banyak.

Menurut KKM, penghantaran pasukan terbabit akan dibuat menerusi kerjasama dengan Kementerian Luar Negeri dan agensi awam lain serta koordinasi oleh Bulan Sabit Merah Antarabangsa.

KKM turut memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan di Gaza dan mengenal pasti keperluan bantuan kemanusiaan dan perubatan diperlukan.

Menerusi maklumat yang disampaikan oleh Gaza-Medics Worldwide, satu per tiga daripada 35 buah hospital yang terdapat di Semenanjung Gaza telah musnah.

Dalam hal ini, usaha untuk memulih dan menambah baik kemudahan perkhidmatan perubatan di hospital yang masih beroperasi dan penambahan kemudahan perlu dilaksanakan bagi menampung keperluan perkhidmatan yang mendesak dan sangat diperlukan oleh rakyat di Gaza.

Oleh hal yang demikian, KKM mengambil inisiatif dengan menyediakan bantuan kemudahan kelengkapan perubatan, iaitu alat pakai habis (consumable) seperti picagari, alat jahitan, kanula intravena dan pembalut selain perkhidmatan neurosurgeri dan pembedahan trauma serta melibatkan kemudahan peralatan seperti “medical beds” dan ubat-ubatan yang bersesuaian untuk dihantar ke Semenanjung Gaza.

KKM turut memaklumkan bahawa bantuan kemudahan perubatan pertama sebanyak 20 tan dari Malaysia telah dilaksanakan pada 3 November 2023 lalu, manakala penerbangan kedua dilakukan pada 11 November 2023 yang juga membawa bantuan kemudahan perubatan dengan jumlah yang sama.

KKM juga akan menghantar bantuan kelengkapan perubatan dan ubat-ubatan dalam siri penghantaran bantuan ketiga dalam tempoh yang terdekat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.