Oleh Fansurina Ramli
14 November 2023, 10:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Qreatif Lab Sdn. Bhd. bakal menganjurkan TRON Bootcamp yang bertujuan memberikan pengalaman dan pendedahan kepada golongan muda untuk mengenali keajaiban aeroangkasa melalui asas disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program tersebut akan diadakan dalam beberapa siri dan siri pertama akan diadakan selama tiga hari dua malam, iaitu bermula pada 16 Disember 2023 hingga 18 Disember 2023 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka dan Taman Tema Genting Skyworld.

Program ini merupakan usaha sama antara Qreatif Lab Sdn. Bhd. dengan pengasas TRON Bootcamp, YBhg. Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dalam usaha memupuk minat dan mencari potensi angkasawan muda yang menjadi fokus utama Dasar Angkasa Nasional 2030.

YBhg. Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dalam sidang media TRON Bootcamp baru-baru ini menyatakan keterujaan beliau untuk melatih anak muda menerusi program intensif yang dirancang dalam kem tersebut.

Dengan sokongan daripada pakar angkasa lepas di negara ini, TRON Bootcamp dibangunkan untuk merangsang minat generasi muda dalam bidang penerokaan angkasa lepas dengan lebih mendalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Qreatif Lab Sdn. Bhd., Puan Zarina Mohamad berkata, mereka juga mencari peluang untuk menawarkan program ini kepada negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

Program berkenaan terbuka kepada kanak-kanak dan remaja yang berusia antara 10 tahun hingga 17 tahun yang akan didedahkan dengan bidang teknologi roket berasaskan 10 modul utama seperti pengetahuan tentang aeroangkasa, astronomi dan planet, pemerhatian bintang, penciptaan roket dan pencetakan roket dengan teknologi pencetakan tiga dimensi.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran program, layari laman sesawang TRON Bootcamp.

Pengisian TRON Bootcamp pada 16 Disember 2023 hingga 18 Disember 2023.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.