11 November 2023, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pekan – Selaras dengan peralihan trend global yang mula berpaksikan sains, teknologi dan digital, pelaksanaan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Pahang telah berjaya menarik lebih daripada 3000 penyertaan yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institut pengajian tinggi serta orang awam.

Karnival tersebut merupakan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang telah diadakan di Dewan Serba Guna, UMPSA pada 10 November 2023 hingga hari ini.

“Pendekatan dalam aspek pendidikan perlu berubah dalam menyediakan sumber tenaga manusia yang berkemahiran tinggi bagi menjamin daya maju dan daya pengeluaran sumber modal insan yang dapat mengisi keperluan masa hadapan berikutan peralihan utama yang disaksikan dalam Pelan Revolusi Perindustrian 4.0 yang melanda di seluruh dunia,” kata Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib yang mewakili Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdy ketika merasmikan karnival berkenaan.

Menurut beliau, inisiatif yang diambil dalam penganjuran karnival yang bertemakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu adalah amat penting untuk mengarusperdanakan bidang tersebut dalam kalangan pelajar sekolah, golongan belia dan komuniti setempat sekali gus bertujuan melahirkan lebih banyak pekerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang yang berkaitan dengannya.

Bagi memperhebat inisiatif pembudayaan yang berterusan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), Kerajaan Negeri Pahang berhasrat agar sebuah pusat sains dapat dibangunkan di negeri ini dan menerima manfaat daripadanya serta dilibatkan melalui pelbagai program yang dirancang pada peringkat Persekutuan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim menekankan bahawa pelaksanaan MSN adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 yang merupakan satu daripada inisiatif MOSTI dalam usaha untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran tentang STI secara besar-besaran.

Tambah beliau, Karnival MSN yang didatangkan kepada banyak negeri dan menawarkan pelbagai pengisian interaktif di reruai pameran, demonstrasi sains dan bual bicara yang berpaksikan STI dan digarap mengikut kesesuaian masyarakat setempat itu mampu mengatasi punca yang menyebabkan pusat sains dan seumpamanya tidak dikunjungi oleh orang ramai sebelum ini.

Pelbagai aktiviti menarik berteraskan STI disediakan yang memberikan manfaat kepada pengunjung sepanjang Karnival MSN tersebut berlangsung, misalnya demonstrasi kenderaan elektrik, demonstrasi penerbangan dron, cabaran e-sukan, aktiviti amali sains, planet realiti maya selain ceramah berkaitan dengan STI.

Turut hadir dalam karnival tersebut ialah Penolong Naib Canselor, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, UMPSA, YBhg. Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang Minggu Sains Negara untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan Karnival MSN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.