Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepong – Menyedari akan kepentingan penjagaan alam sekitar, Coway Malaysia bersama-sama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengambil langkah proaktif melalui usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menanam sebanyak 20 pokok di FRIM, baru-baru ini.
Usaha ini dilaksanakan untuk memacu kemampanan serta membina masa hadapan yang lebih hijau dan mampan serta menyahut inisiatif Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ((NRECC), iaitu Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Pengarah Urusan Coway Malaysia, Kyle Choi berkata, “Di Coway, kami percaya tanggungjawab korporat perlu selaras dengan komitmen kami terhadap inovasi dan kecemerlangan. Kerjasama kami bersama-sama organisasi dalam menyokong aktiviti alam sekitar dan melindungi ekosistem mencerminkan dedikasi tidak berbelah bahagi kami untuk mencipta masa hadapan yang mampan.”

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah FRIM, Dr. Ismail Parlan, FRIM mempunyai komitmen berterusan untuk mempromosikan amalan perhutanan mampan dan kolaborasi ini selaras dengan misi organisasi itu.
Melalui jalinan ini, kami berazam untuk memberikan sumbangan bermakna terhadap pemuliharaan alam sekitar dan untuk menekankan kepentingan penanaman pokok untuk dunia yang lebih sihat. Sokongan daripada Coway Malaysia dalam usaha ini amat dihargai, dan kami yakin program seperti ini akan mendorong pihak lain untuk turut terlibat dalam inisiatif yang serupa.
Antara spesies pokok yang ditanam dalam program ini termasuklah nyatoh taban merah (Palaquium gutta), meranti rambai daun (Rubroshorea acuminata), merawan siput jantan (Hopea odorata), sentul paya (Sandoricum beccarianum), jambu bol (Syzygium malaccense) dan resak irian (Vatica rassak).
Sejak tahun 2021, Coway Malaysia turut bekerjasama bersama-sama organisasi alam sekitar bukan kerajaan, EcoKnights Coway dengan mengumpulkan lebih dua ribu kilogram sisa daripada sungai di Lembah Klang.
Baru-baru ini, insiatif ini diteruskan melalui program pembersihan di Sungai Kayu Ara di Taman Tun Dr Ismail dan berjaya membersihkan sebanyak 252.5 kilogram sampah sungai.

Kerjasama antara Coway Malaysia dengan EcoKnights akan diperluas menerusi tiga program pembersihan sungai dalam beberapa bulan akan datang di beberapa lokasi di Lembah Klang.
“Melalui kerjasama melalui entiti yang mempunyai matlamat yang serupa, kami dapat meningkatkan impak kolektif untuk menjaga sumber berharga alam sekitar. Kami percaya, setiap tindakan kecil mampu menyumbang kepada dunia yang lebih baik dan bersih untuk generasi akan datang. Oleh sebab itu, kami berharap inisiatif ini akan memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk turut menjaga dan melindungi warisan alam sekitar di atas muka bumi ini,” kata Kyle Choi lagi.