Diterbitkan pada 9 November 2023, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke Bengkel Pendidikan Awal untuk Guru dan Penjaga Kanak-Kanak Autisme yang diadakan bagi memberikan pendedahan kepada ibu bapa, penjaga dan guru mengenai autisme.

Program yang berlangsung di The Putra Regency Hotel, Kangar itu dianjurkan oleh Rotary Club of Perlis dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Ohana dan A-Heart Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden Rotary Club of Perlis, Jimmy Goh Weizhi dan usahawan, YBhg. Datuk Steven Ooi.

“Program kesedaran seumpama ini perlu dipertingkat bagi memperjuangkan kesedaran dan penerimaan autisme dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya di Perlis,” titah DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Penaung A-Heart.

Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) berkenan berangkat ke Bengkel Pendidikan Awal untuk Guru dan Penjaga Kanak-Kanak Autisme di The Putra Regency Hotel, Kangar. 

Sepanjang program itu berlangsung, sebanyak 45 orang peserta yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga dan para guru dapat merasai sendiri cara anak-anak autisme menjalani kehidupan seharian mereka dengan penuh cekal dan tabah.

Sekitar Bengkel Pendidikan Awal untuk Guru dan Penjaga Kanak-Kanak Autisme berlangsung.

Dalam program tersebut, pelbagai aktiviti menarik dijalankan yang dibimbing oleh lima orang pelatih seperti aktiviti komunikasi, terapi main, pengurusan tingkah laku, pengawalaturan deria dan aktiviti Autism and The Brain.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan meluangkan masa dan beramah mesra dengan ahli jawatankuasa penganjuran program.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) turut berkenan beramah mesra dengan ahli jawatankuasa penganjuran program.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi