Oleh Abd Razak Osman
28 Oktober 2023, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Sebanyak kira-kira seribu batu karang ditanam semula di perairan Pulau Jemuruk, Langkawi, Kedah bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Negara (NED) 2023.

Inisiatif penanaman semula itu dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah melalui kerjasama rakan strategik Kedah Cement Sdn. Bhd. dan 120 lagi rakan alam sekitar di negeri Kedah dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada usaha memelihara dan memulihkan ekosistem marin di seluruh negara.

Perasmian inisiatif tersebut dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Kedah, YB Mohammad Yusoff @Munir Zakaria di Hotel Aloft Pantai Tengah, Langkawi.

Pengarah JAS Negeri Kedah, Puan Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata bahawa penanaman batu karang tersebut merupakan satu daripada 14 program anjuran JAS bersempena dengan NED pada tahun ini.

Puan Sharifah Zakiah Syed Sahab (dua dari kanan) bergambar bersama-sama sebahagian daripada peserta penanaman batu karang di Langkawi, baru-baru ini.

Objektif program itu bertujuan menyemai kesedaran orang ramai tentang pemeliharaan dan pembiakan terumbu karang di perairan Langkawi serta memupuk rasa cinta akan alam sekitar yang indah dan bersih.

Menurutnya, usaha yang dilakukan ini merupakan tanggungjawab bersama bagi mengelakkan kepupusan batu karang di Langkawi.

Benih batu karang untuk ditanam di Pulau Jemuruk, Langkawi.

Seorang peserta program itu, Encik Zulkiflee Md. Isa dari Perai, Pulau Pinang berkata bahawa program penanaman batu karang melalui kaedah coral rack planting seperti ini perlu diperluaskan kerana hasilnya bakal menjadi satu tarikan utama pengunjung di Langkawi.

Menurut beliau, batu karang yang sedia ada sudah dipenuhi lumpur dan usaha penanaman semula ini sangat baik kerana dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.