27 Oktober 2023, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dalam usaha untuk menambah baik kesiapsiagaan terhadap pandemik pada masa hadapan dengan lebih efisien, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama-sama semua negara anggota telah bersepakat untuk menubuhkan dua platform rundingan antarabangsa bagi memperkukuh aspek kesiapsiagaan, pencegahan, pengesanan serta respons terhadap pandemik pada peringkat antarabangsa bagi mengurangkan impak terhadap sesebuah negara khususnya.

Dua platform rundingan antarabangsa tersebut ialah Intergovernmental Negotiating Body (INB) yang dikenali sebagai INB WHO Ca+ (pandemic treaty) dan Working Group on Amendments to the International Health Regulations (WGIHR).

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai penyelaras kedua-kedua rundingan ini telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan termasuklah Jabatan Peguam Negara kerana proses rundingan tersebut tidak terhad kepada bidang kesihatan awam sahaja, malah turut melibatkan bidang lain seperti perdagangan, persekitaran, geopolitik dan sosioekonomi,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan itu adalah untuk memastikan kedaulatan dan undang-undang Malaysia terpelihara serta kepentingan rakyat Malaysia dilindungi dan diutamakan.

Tambah beliau, penyertaan Malaysia dalam rundingan INB WHO Ca+ dan WGIHR menunjukkan komitmen negara dalam usaha memperkukuh keselamatan kesihatan global dan pencegahan wabak pada masa hadapan.

Dalam setiap rundingan tersebut, kedaulatan dan autonomi, keadilan dan solidariti, kesamarataan, keperluan dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang lestari, kesedaran awam dan ketelusan dijadikan asas penting serta mendapat sokongan daripada negara anggota WHO yang lain.

Jelas beliau, setiap negara berpeluang menyuarakan pandangan dan pendirian masing-masing menerusi metodologi rundingan yang sistematik dan komprehensif dan setiap usul yang dimasukkan dalam draf bagi kedua-dua dokumen ini dikupas secara terperinci dengan mengambil kira keupayaan dan kebolehlaksanaan negara anggota dan keputusan muktamad hanya akan diberikan apabila semua negara anggota bersetuju dalam rundingan tersebut.

Dalam hal ini, Malaysia akan memastikan semua perjanjian antarabangsa, khususnya yang berkaitan dengan kepentingan kesihatan awam tetap mendahulukan pemeliharaan kedaulatan negara dan KKM sentiasa terbuka untuk sebarang pandangan bagi memastikan proses rundingan tersebut berjalan dengan lancar dan bermanfaat kepada negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.