Diterbitkan pada 26 Oktober 2023, 19:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd. Farid Janudin

Cyberjaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Multimedia mengadakan program Forum Pengiklanan Bahasa Jiwa Bangsa yang bertajuk Pesona Aksara dan Visual. Program itu dianjurkan bersempena dengan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023.

Program itu diadakan di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia. Program itu menampilkan Ahmad Fedtri Yahya selaku moderator dan menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Profesor Madya Dr. Wan Amizah Wan Mahmud, Khairul Anuar Azmi dan Dr. Mastura Haji Mohd Jarit. Khairul Anuar Azmi menyatakan bahawa pengamal media harus bertanggungjawab untuk menghasilkan karya yang menepati piawaian yang ditetapkan oleh pihak berwajib seperti DBP dan Lembaga Penapisan Filem.

Profesor Madya Dr. Wan Amizah Wan Mahmud menyatakan bahawa pembikin kandungan kreatif pada masa ini sudah semakin kreatif untuk menghasilkan kandungan walaupun dikekang oleh undang-undang tertentu. Beliau menambah bahawa kandungan kreatif seperti iklan yang dihasilkan pada masa ini sudah semakin bagus kerana membawakan nilai-nilai murni dan mesej yang berkesan. Selain itu, beliau menekankan bahawa pembikin kandungan kreatif menguasai bahasa dengan baik. Penguasaan bahasa yang baik boleh menjadi satu nilai tambah yang baik kerana bahasa merupakan medium untuk menyampaikan sesuatu mesej.

Dr. Mastura Haji Mohd Jarit pula menambah bahawa pembikin kandungan kreatif harus berani untuk bereksperimen dengan idea kreatif bagi menghasilkan kandungan yang bermutu tinggi. Beliau juga menambah bahawa tenaga pengajar pada masa ini mempelajari teknologi baharu untuk menghasilkan kandungan. Selain itu, beliau menekankan bahawa pembikin kandungan kreatif harus menerapkan unsur kebudayaan dalam karya mereka agar dapat mempromosikan dan memperkenalkan kebudayaan Malaysia ke peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi