25 Oktober 2023, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof menumpukan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi dalam memperkasa sekuriti makanan negara.

Inisiatif tersebut merangkumi pelaksanaan Projek Industri Tenusu Negara melalui Projek Pembangunan Ladang Tenusu Integrasi di Chuping, Perlis serta Cadangan Pelaksanaan Pembajaan dan Pembekalan Baja Bio dan Organik bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi.

“Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjamian Makanan sedang berusaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan, khususnya dalam bidang teknologi, pemodenan dan rantaian nilai agromakanan termasuklah menerusi Strategi Pembangunan Industri Nanas dengan penyusunan semula sistem galakan pasaran eksport sedia ada untuk memupuk kecekapan dan daya saing yang lebih tinggi,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, dengan memperluas skop Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan mengetengahkan komoditi bernilai tinggi seperti kelapa dan durian, produktiviti komoditi ini akan meningkat dan dijangkakan dapat membantu mengurangkan defisit perdagangan.

Selain memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi variasi benih penanaman dalam negara, beliau menyatakan bahawa inisiatif tersebut juga dapat meningkatkan prestasi eksport produk hiliran berasaskan pertanian dan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan secara domestik.

Selaras dengan hasrat membangunkan Malaysia MADANI, semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan tahap keterjaminan makanan negara sentiasa stabil dan lestari termasuklah melalui peranan JKSMN bagi memperkukuh sekuriti makanan negara ke arah peningkatan produktiviti, penjanaan pendapatan, potensi teknologi pertanian sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Tegas beliau, pendekatan proaktif akan sentiasa dilaksanakan oleh kerajaan dalam menganalisis dan mengenal pasti strategi, inisiatif baharu serta merangka intervensi yang lebih komprehensif dan strategik dalam menjamin kemampanan bekalan input agromakanan dan produktiviti pengeluaran makanan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.