25 Oktober 2023, 20:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Dalam penghasilan sesuatu animasi, estetika tempatan adalah penting dan perlu dimasukkan dalam proses penciptaan animasi itu bagi mewujudkan jiwa penghayatan, identiti yang lebih jelas dan keaslian animasi tersebut.

Demikian adalah antara kupasan utama yang dibincangkan dalam forum animasi dan kreatif “Estetika Tempatan Warnai Kepelbagaian” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, petang tadi.

Forum animasi dan kreatif “Estetika Tempatan Warnai Kepelbagaian” dikendalikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Perhubungan Antarabangsa), Fakulti Komunikasi Gunaan, Universiti Multimedia, Puan Suhana Mohamed Salleh selaku moderator (kanan).

Sebagai pembuka tirai sesi perkongsian, Profesor Adjung, Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia merangkap Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation Sdn, Bhd., Encik Muhammad Usamah Zaid Yasin menyatakan bahawa estetika merujuk penggunaan unsur atau elemen dalam penghasilan sesuatu karya dan setiap karya yang dihasilkan haruslah memiliki maksud, tujuan dan hasrat yang ingin disampaikan kepada khalayak.

Profesor Adjung, Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia merangkap Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation Sdn, Bhd., Encik Muhammad Usamah Zaid Yasin.

Menurut Pensyarah Animasi, Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia, Encik Anuar Hassan pula, estetika dalam animasi diperoleh dengan melakukan pelbagai kajian sama ada dalam bentuk pembacaan atau pengamatan dan kemudiannya diimaginasikan di luar akal fikiran serta berusaha menjadikannya lebih menarik untuk dipertontonkan kepada orang ramai.

Pensyarah Animasi, Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia, Encik Anuar Hassan.

Menjawab persoalan animasi kini sering menggabungkan pelbagai budaya, Encik Muhammad Usamah Zaid Yasin berpandangan bahawa setiap animasi yang dihasilkan itu bermatlamat untuk menembusi pasaran di dalam negara dan di luar negara dengan menggunakan pelbagai estetika tempatan sekali gus nilai murni yang terkandung dalam animasi dapat disebarluaskan kepada masyarakat di seluruh pelosok dunia.

Di sebalik suatu cerita dalam animasi itu, terdapat tema, nilai murni dan mesej yang diserap ke dalam animasi tanpa disedari untuk disampaikan kepada masyarakat.

Dari segi cabaran, kedua-dua ahli panel bersetuju bahawa cabaran untuk mendapatkan idea yang asli dan tidak mahu menyerupai animasi lain adalah sukar kerana penghasilan sesuatu animasi yang menarik, berkualiti dan terbaik sangat memerlukan satu jangka masa yang panjang.

Sementara itu, nasihat yang diberikan kepada individu yang ingin berjaya dalam bidang penghasilan animasi perlu mempunyai minat dan melakukan pelbagai kajian yang melibatkan penghayatan kehidupan harian sebelum menghasilkan karya kerana penghayatan inilah yang membezakan sama ada seseorang pengkarya itu berbakat ataupun tidak.

Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Pengarah Jabatan Pemasaran Strategik, Universiti Multimedia, Ts. Natalya Dato’ Shamsuar, Ketua Bahagian Perkamusan, Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus serta tetamu undangan lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.