19 Oktober 2023, 22:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selain menjadi platform kepada peladang, penternak dan nelayan untuk bersua muka dan mengembangkan jaringan komunikasi antara satu sama lain, sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2023 juga membuka potensi strategik kepada prospek perniagaan.

Demikian antara inti pati ucapan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Haji Mohamad Sabu ketika merasmikan Majlis Prapelancaran Sambutan HPPNK Tahun 2023 yang akan disambut pada 10 November 2023 hingga 12 November 2023 di Ipoh, Perak dan perasmiannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Sambutan HPPNK pada kali ini memfokuskan aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang diterjemahkan melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) sesuai dengan temanya, iaitu Keterjaminan Makanan untuk Masa Depan,” kata YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, selaras dengan hasrat membangunkan Malaysia MADANI yang merupakan tanggungjawab semua pihak untuk memastikan tahap keterjaminan makanan negara sentiasa stabil dan mampan, pelbagai pengisian dan aktiviti disediakan oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta rakan strategik yang berkaitan.

Antara teknologi yang akan dipamerkan semasa hari sambutan itu termasuklah teknologi dron, prototaip teknologi kejuruteraan pertanian untuk sistem pertanian pintar serta model sistem pengairan dan saliran pertanian, sistem recirculating aquaculture system (RAS), asuhan ikan marin (ikan kerapu dan siakap), inovasi teknologi ikan tilapia dan pelbagai teknologi lain.

Yang menariknya, pengunjung juga berpeluang untuk menikmati sendiri pengalaman pertanian secara praktikal seperti merasai suasana sebenar dalam mengendalikan jentuai padi semasa proses penuaian di lapangan, melihat dengan lebih dekat baka ternakan seperti lembu hibrid terbaik, baka kambing dan ayam saga.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa terdapat sesi penerangan tentang pengurusan sisa daripada ahli panel yang berpengalaman, misalnya penghasilan produk kertas dan benang daripada serat nanas, demonstrasi pengurusan sisa dapur bagi penghasilan kompos daripada sisa tanaman, klinik keusahawanan, teknologi pertanian dan industri asas makanan serta pemasaran digital.

Beliau juga menyatakan bahawa terdapat segmen Anugerah dan Penghargaan bagi meraikan dan mengiktiraf peladang, penternak dan nelayan serta segmen Rakan Strategik untuk menonjolkan inisiatif dan elemen dalam menyokong usaha pemerkasaan sektor pertanian dan agromakanan negara.

Pada masa yang sama, pengunjung juga diraikan dengan pelbagai produk jualan pertanian menerusi jualan agro MADANI, empayar makanan, produk pertanian dan industri asas tani, buah-buahan dan florikultur.

Secara keseluruhannya, semua komitmen yang diberikan mencerminkan kesepaduan kerajaan dalam memperkukuh sekuriti makanan negara ke arah peningkatan produktiviti, penjanaan pendapatan, terutamanya kepada golongan sasar untuk terus berdaya saing mengembangkan potensi perniagaan dan teknologi pertanian sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.