19 Oktober 2023, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Tindakan menghentikan aktiviti luar buat sementara waktu ekoran kemerosotan kualiti udara dalam negara adalah selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang memfokuskan kualiti udara perlu sentiasa dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan agensi yang terlibat dengan pengurusan bencana jerebu dapat bertindak dengan lebih cepat dan responsif.

Tindakan tersebut juga adalah selaras dengan prosedur operasi standard daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang terpakai kepada semua pihak dan mesti dipatuhi bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana yang akan digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diaktifkan jika bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam, menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100, penutupan sekolah, tadika dan taska dengan serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200 serta pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan jika perlu,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, terdapat kes kebakaran yang melibatkan kawasan belukar tanah gambut berkeluasan 32 hektar (80 ekar) di Kota Tinggi, Johor dan sebanyak 70 peratus kebakaran telah berjaya dipadamkan, namun masih terdapat asap di permukaan tanah.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemilik tanah setelah carian rasmi daripada pejabat tanah diperoleh dan NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah memasang alat pemantauan kualiti udara di sekolah berhampiran, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Pengerang Utama, Taman Bayu Damai, Punggai bagi cerapan kualiti udara (PM10 dan PM2.5).

Semua pemilik tanah disarankan agar memantau secara rapi kawasan yang mudah terbakar dan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka perlu ditingkatkan oleh JAS.

Setakat hari ini, bacaan IPU yang tidak sihat dicatatkan di satu stesen sahaja, iaitu Klang, Selangor dengan bacaan 154, namun trend kualiti udara sepanjang minggu menunjukkan bahawa beberapa kawasan sering mencatatkan bacaan yang tidak sihat, terutamanya di kawasan Semenanjung Malaysia disebabkan oleh pergerakan asap jerebu.

Pergerakan angin pada masa ini di ASEAN selatan adalah dari arah timur ke tenggara berdasarkan Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC), semalam.

Bahagian selatan ASEAN akan menerima taburan hujan yang lebih tinggi dalam beberapa hari akan datang yang membawa kepada pengurangan titik panas dan asap jerebu.

Sebagai inisiatif untuk menangani krisis jerebu, Malaysia telah mengadakan kerjasama dua hala dengan Indonesia secara “Government to Government” di bawah kerangka Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan.

Tambah beliau, penggubalan Rang Undang-Undang Jerebu Merentas Sempadan juga akan diteliti dari pelbagai sudut merangkumi kebolehlaksanaan undang-undang yang akan digubal, hubungan diplomatik dengan negara jiran serta pelaksanaan akta seumpamanya oleh negara lain bagi memastikan tiada pembaziran sumber dalam menggubal akta ini.

Beliau juga menyatakan bahawa kementerian tidak menolak untuk meneliti mekanisme instrumen atau perundangan lain yang bersesuaian bagi menangani isu jerebu.

Perjanjian dua hala antara Amerika Syarikat dengan Kanada melalui US-Canada Air Quality Agreement merupakan rujukan yang diguna pakai oleh NRECC disebabkan oleh keberkesanannya, namun komitmen daripada Malaysia dan kedua-dua belah pihak amat diperlukan bagi menyelesaikan masalah jerebu ini.

Pada masa yang sama, orang awam dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada udara yang tidak sihat dan sentiasa peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing.

Beliau menegaskan bahawa individu yang melakukan pembakaran terbuka akan dikenakan denda tidak melebihi RM500 000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali seperti yang termaktub dalam Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM2000 atas setiap kesalahan.

Sebarang kes pembakaran terbuka atau kebakaran boleh dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 agar isu jerebu dapat ditangani bersama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.