Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2024 yang dilihat terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan di Malaysia.
Belanjawan 2024 itu diyakini mampu mengukuhkan peranan KPKM dalam mendepani cabaran isu semasa dalam sektor pertanian dan agromakanan.
“Peruntukan yang diberikan oleh kerajaan membolehkan KPKM memacu sektor agromakanan yang memfokuskan agenda pemodenan dan kelestarian aktiviti pertanian, pengukuhan infrastruktur pertanian, pembangunan secara holistik terhadap rantaian nilai agromakanan dan pemerkasaan agenda kebajikan petani, nelayan, penternak dan pesawah di samping memastikan keterjaminan makanan kepada semua rakyat Malaysia,” kata Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam satu kenyataan.
KPKM menerima peruntukan sebanyak RM6.17 bilion, iaitu kenaikan sebanyak 14.4 peratus berbanding dengan RM5.39 bilion pada tahun lalu dan peningkatan tersebut membuktikan bahawa keutamaan kerajaan dalam memacu sektor pertanian sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Menurut beliau, kerajaan juga telah memutuskan beberapa inisiatif untuk terus memperhebat usaha menjamin kelangsungan industri agromakanan negara yang lebih mandiri seperti menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1300 per tan metrik daripada RM1200 per tan metrik yang kali terakhir diselaraskan pada tahun 2014.
Tambah beliau, kerajaan juga telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang dengan membina infrastruktur pengairan tersier di kawasan pertanian Muda bagi meningkatkan pengeluaran padi melalui pelaburan bernilai tiga bilion.
Jelas beliau, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan oleh KPKM dalam meningkatkan pengeluaran hasil padi bagi mencapai sasaran kadar Tahap Sara Diri (SSR) beras negara sebanyak 80 peratus pada tahun 2030 yang secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import selain memberikan pendapatan tambahan kepada pesawah menerusi pertambahan satu musim tambahan berbanding dengan tempoh penanaman konvensional.
Kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta dalam usaha meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43 ribu hektar yang dijangkakan dapat membantu meringankan kos penanaman padi bukit atau huma oleh pesawah di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, kerajaan juga akan terus mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah, iaitu RM1.65 seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun, elaun sara hidup hingga RM300 sebulan, Insentif Hasil Tangkapan Nelayan hingga RM1000 sebulan dan menyediakan RM10 juta ringgit untuk tujuan membina dan membaik pulih rumah nelayan yang uzur bagi menjaga kebajikan para nelayan.
Mengulas lebih lanjut, sebanyak RM400 juta disediakan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan dengan RM150 juta diperuntukkan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan, RM50 juta untuk melaksanakan kaedah baharu perolehan baja secara tender terbuka dan RM50 juta untuk membekalkan baja bio dan organik kepada 50 ribu orang pesawah.
Bagi peningkatan kapasiti pengeluaran produk pertanian dan daya saing agroprenuer muda, Agrobank turut menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dengan ketersediaan dana hingga RM430 juta.
Sementara itu, sebanyak RM50 juta disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian bertujuan memberikan pampasan kepada petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana dan RM50 juta lagi disediakan sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi bagi memberikan perlindungan kepada pesawah yang terkesan akibat bencana.
Dalam mendepani agenda keterjaminan makanan, KPKM akan melaksanakan inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan 2024 secara cekap, berhemat serta efisien bagi memastikan golongan sasar yang telah dikenal pasti mendapat manfaat segera.
Dalam hal ini, beliau yakin bahawa kesemua inisiatif yang dirancang itu dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam agenda memperkukuh keterjaminan makanan negara selaras dengan objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.