Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 1.1 juta benih ikan asli dilepaskan secara serentak di seluruh Malaysia yang diadakan di 14 lokasi terpilih sekali gus mencatatkan rekod baharu bagi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh DOF, antara benih ikan yang dilepaskan termasuklah kelah, lampam sungai, temoleh, terbul dan udang galah.
Program pelepasan benih ikan yang diadakan hasil kerjasama antara DOF, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Perikanan Sabah, Jabatan Pertanian Sarawak dengan Jabatan Perikanan Laut Sarawak itu juga menerima sijil daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Largest Simultaneous Fish Fry Restocking Event.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali di Tasik Putrajaya.
Selain sebagai satu usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui DOF untuk menguruskan sumber perikanan darat di negara ini, program tersebut juga dapat membantu menambah stok perikanan dan seterusnya meningkatkan populasi serta memulihara kepelbagaian biodiversiti.
Dalam program tersebut juga terdapat pameran yang disediakan oleh Sektor Perikanan Darat seperti pameran peralatan yang dilarang, spesies ikan asli dan asing, pertunjukan demonstrasi masakan Pai Tee Latok dan uji rasa menu berasaskan perikanan.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Encik Abdullah Hasan, Naib Presiden Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya, Encik Shamsul Bahrin Rahmat serta Ketua-Ketua Jabatan dan agensi di bawahnya.