Oleh Abd Razak Osman
11 Oktober 2023, 14:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Program Penanaman 900 Pokok Bakau dan Pelepasan 2000 Benih Anak Udang yang diadakan di Kompleks Pelancongan Jeti Semeling, Sungai Merbok bertujuan menyemai semangat cinta akan alam sekitar sebagai satu daripada usaha untuk memelihara dan memulihara kawasan pokok bakau bagi meningkatkan biodiversiti ekosistem marin.

Program tersebut dianjurkan oleh Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah, Management and Science University (MSU) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puteri Jaya.

Aktiviti menanam pokok bakau di kawasan Jeti Semeling, Sungai Merbok.

“Aktiviti menaman pokok bakau dapat membantu dalam menjaga ekosistem pantai dan mengurangkan hakisan pantai, manakala pelepasan anak udang pula menyokong pemuliharaan sumber daya perikanan,” kata Pengarah JAS Negeri Kedah, Puan Sharifah Zakiah Syed Sahab ketika merasmikan program berkenaan.

Tambah beliau, hutan merupakan khazanah alam yang paling berharga dan perlu dipelihara serta diuruskan dengan cekap secara berterusan demi kesejahteraan masyarakat sejagat.

Pengarah JAS Negeri Kedah, Puan Sharifah Zakiah Syed Sahab turut melepaskan anak udang ke dalam Sungai Merbok.

Sementara itu, urus setia program tersebut, Zubir Othman menyatakan bahawa program seumpama ini adalah antara inisiatif yang baik untuk menjaga alam sekitar dengan melibatkan komuniti tempatan sekali gus dapat menunjukkan keprihatinan mereka terhadap usaha pengurusan hutan secara berkekalan.

Menurut beliau, sebanyak 550 orang peserta dalam kalangan pelajar dari pelbagai sekolah terpilih, wakil MSU dan kakitangan Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd. turut menyertai aktiviti berkenaan.

Dalam program tersebut juga diadakan aktiviti zumba, sesi ceramah “Sayangi Alam Sekitar” dan “Zero to Hero” serta pelbagai aktiviti menarik yang lain.

Ahli jawatankuasa Program Penanaman 900 Pokok Bakau dan Pelepasan 2000 Benih Anak Udang bergambar bersama-sama di Dataran Jeti Semeling, Sungai Merbok sebagai tanda kenang-kenangan.

Turut hadir bagi memeriahkan program ialah Pengurus Jerai Geopark, YBrs. Dr. Mohd Amin Ali, Pensyarah MSU, Puan Maswani Shukri, Pengetua SMK Bandar Puteri Jaya, Encik Noorshamsullkumar Puteh dan Penghulu Mukim Semeling, Encik Mohd Sharumnisham Shahbudin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.