10 Oktober 2023, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Songkhla – Program International Accounting Education and Acculturation Camp 2023 (IAEC2023) yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kolaborasi antarabangsa Fakulti Perakaunan, Rattaphum College (RPC), Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS) telah berlangsung dengan jayanya pada 8 Oktober 2023.

Program yang bermula pada 6 Oktober 2023 itu melibatkan sebanyak 33 orang pelajar dari UiTM Cawangan Perlis dan 70 orang pelajar dari RPC.

“Dengan adanya pelaksanaan program peringkat antarabangsa seumpama ini, sudah tentunya dapat membantu kedua-dua belah pihak untuk mencapai aspirasi pihak berkepentingan, sekali gus merancakkan program kolaborasi bagi berkongsikan ilmu, kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai bidang di samping meningkatkan kebolehpasaran, kapasiti serta pengalaman para graduan,” kata Presiden RUTS, YBrs. Profesor Dr. Suwat Tanyaros ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program IAEC2023.

Presiden RUTS, YBrs. Profesor Dr. Suwat Tanyaros ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program IAEC2023.

Selepas selesai majlis perasmian, delegasi dari UiTM Cawangan Perlis dibawa melawat ke ladang pintar, RPC Smart Farm yang terkenal dengan pengeluaran buah rock melon, anggur dan strawberi.

Sesi taklimat ringkas di RPC Smart Farm.

Ladang pintar tersebut menggunakan sistem teknologi pertanian yang berupaya memberikan pendedahan serta latihan kepada pelajar dan individu yang berminat untuk menjadi usahawan tani moden yang berjaya.

Selain itu, ladang pintar itu juga menjadi daya tarikan dalam mempromosikan pendidikan dan pelancongan kepada pihak universiti dan masyarakat setempat di samping menjana pendapatan tambahan.

Pada hari kedua program, peserta mengikuti sesi latihan dan pembelajaran berasaskan pengalaman bersama-sama Luk Pla Farm Company Limited yang merupakan pengeluar ayam proses halal terbesar di Wilayah Songkhla yang dieksport ke luar negara seperti Brunei, Malaysia dan Singapura.

Menerusi aktiviti tersebut, peserta berpeluang mengetahui secara lebih mendalam cara pengeluar atau pembekal makanan halal dunia mengurus, memproses, memenuhi permintaan dan melaksanakan jaminan keselamatan makanan.

Pada masa yang sama, terdapat sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Pensyarah Perakaunan, UiTM Cawangan Perlis, Puan Faizah Ghazi dan Pensyarah Perakaunan, RUTS merangkap Penolong Presiden RUTS, YBrs. Dr. Lamun Kayurin yang masing-masing berkongsikan tentang isu perakaunan semasa seperti keperluan dan pengubahsuaian fungsi terhadap kecerdasan buatan dalam sistem perakaunan, pengurusan dan analisis maklumat pengekosan produk dalam membuat keputusan.

Puan Faizah Ghazi berkongsikan ilmu tentang perakaunan kepada para peserta.
Sesi perkongsian ilmu oleh YBrs. Dr. Lamun Kayurin.

Program turut diserikan dengan beberapa rangkaian persembahan tradisi warisan oleh kedua-dua belah pihak sekali gus memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari dan memahami seni budaya yang terdapat di kedua-dua buah negara.

Persembahan khas daripada para peserta kedua-dua buah universiti bagi memperkenalkan seni budaya di negara masing-masing.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Naib Presiden (Hal Ehwal Akademik) RUTS, YBrs. Asst. Profesor Dr. Kwanhantai Jaipiem, Pengarah RPC, YBrs. Dr. Panumas Suybangdum dan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Azrul Abdullah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.