Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Susulan faktor pemanasan global yang sedang dihadapi oleh dunia sejak akhir-akhir ini, kesan fenomena El Nino dijangkakan lebih ekstrem berbanding dengan episod yang terdahulu dengan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah taburan hujan di seluruh negara.
Intensiti fenomena El Nino dijangkakan meningkat bermula pada penghujung tahun ini hingga awal tahun hadapan dan kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi menghadapi fenomena itu serta berusaha untuk mengurangkan kesannya.
“Agensi yang terlibat dalam pengurusan kebakaran hutan dan tanah gambut perlu memanfaatkan sistem Fire Danger Rating System (FDRS) yang telah dibangunkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan sebaik-baiknya bagi menangani isu ini,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berucap dalam majlis perasmian Forum Iklim Kebangsaan 2023 yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.
FDRS yang telah ditambah baik dengan keupayaan untuk menyediakan maklumat ramalan hingga tujuh hari ke hadapan berserta capaian kepada Web Map Service (WMS) yang membolehkan sistem ini bersifat interaktif dan mesra pengguna merupakan sistem ramalan awal bagi memantau kemungkinan berlakunya kebakaran hutan dan tanah gambut di negara ini.
Tambah beliau, dengan adanya FDRS tersebut diharapkan sebarang bencana yang berkaitan dapat dikenal pasti dan dikawal dengan lebih awal agar tidak menjadi lebih teruk.
Menurut beliau, kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan El Nino yang dijangkakan bermula pada November 2023 dan berakhir pada Mac 2024.
Cuaca menjadi lebih panas dan kering yang berpanjangan sehingga mencetuskan gelombang haba serta boleh mengurangkan jumlah hujan sekali gus menyebabkan berlakunya kebakaran hutan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal adalah antara kesan daripada fenomena El Nino.
Sementara itu, beliau juga menyatakan bahawa empat hingga enam episod hujan lebat yang ketara dijangkakan berlaku dan boleh mengakibatkan banjir dalam tempoh monsun timur laut (MTL) dalam tempoh antara November 2023 hingga Februari 2024.
Episod hujan lebat di Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangkakan berlaku antara November 2023 hingga Disember 2023, manakala pada Disember 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangkakan lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.
Mengulas lebih lanjut, sekiranya luruan monsun kuat atau terdapat kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara, hujan berterusan juga boleh berlaku di negeri pantai barat.
Kebanyakan tempat dijangkakan mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata MTL 2023/2024 kecuali di beberapa kawasan di Sabah dan utara Semenanjung serta kawasan pedalaman yang turut dijangkakan menerima hujan sedikit di bawah purata pada penghujung MTL.