Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pengumuman pemberian penggunaan fasiliti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secara percuma untuk kegunaan sambutan Hari Sukan Sekolah tertakluk pada kekosongan jadual tempahan fasiliti telah mendapat sambutan yang baik daripada pihak sekolah di negara ini.
Seiring dengan hasrat Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Puan Yeoh Tseow Suan, pelaksanaan konsep merakyatkan sukan melalui penggunaan fasiliti sukan di bawah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bertujuan memfokuskan olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi pada peringkat sekolah dan pelajar dapat merasai pengalaman berlari di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus memberikan inspirasi kepada mereka untuk menjadi seorang atlet.
Penggunaan trek dan fasiliti di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City dibuka untuk penggunaan sekolah, penggunaan gelanggang bola jaring dan boling padang di Kompleks Sukan Bukit Kiara serta padang Stadium Hoki Tun Razak di Kompleks Sukan Jalan Duta.
Sekolah pertama yang menganjurkan sukan sekolah tahunan secara percuma di Stadium Nasional Bukit Jalil ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Bandaraya, Kuala Lumpur pada 6 Oktober lalu.
Penggunaan fasiliti PSM secara percuma tersebut masih terbuka kepada semua sekolah hingga tahun 2025 dan setakat hari ini PSM telah menerima sebanyak 24 permohonan untuk tempahan sukan sekolah di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sebarang pertanyaan berhubung dengan perkara ini, orang awam boleh melayari portal PSM atau menghubungi talian 03-8892 0888.