Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Pelancaran Buku Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 (PPGN 2021-2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Dato’ Sri Huang Tiong Sii di International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia 2023 (IGEM) 2023, pagi tadi.
Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan perubahan Iklim (NRECC) dalam satu kenyataan, penerbitan kedua-dua pelan tersebut merupakan inisiatif oleh kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dalam memperkasakan agenda pembangunan dan pengurusan geopark negara dan perlu dirujuk serta diguna pakai dalam semua perancangan pembangunan fizikal negara.
Kedua-dua pelan berkenaan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-42 (MPFN Ke-42) pada 18 September lalu yang telah dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk diterima pakai dalam pembangunan dan pelaksanaan geopark oleh agensi persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri dalam memperkasakan ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat serta menterjemahkan cadangan PPGN 2021-2030 dan PLGN dalam Rancangan Tempatan bagi Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.
NRECC menyatakan bahawa PPGN 2021-2030 merupakan pelan strategik dalam pembangunan sesebuah geopark yang memperlihatkan hala tuju sesebuah geopark kebangsaan ke arah pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGGp) untuk tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 2021 hingga tahun 2030.
Selain itu, NRECC melalui JMG telah membangunkan PPGN 2021-2030 sebagai sumber rujukan bagi membangunkan geopark kepada agensi yang berkepentingan pada peringkat persekutuan dan negeri.
Pelan tersebut juga menggariskan elemen strategi, tatacara serta tindakan agensi kerajaan yang terlibat agar dapat digembleng secara bersepadu melalui pendekatan pengurusan bersama.
Sementara itu, PLGN pula disediakan untuk dijadikan panduan pengurusan kepada pihak berkepentingan pada peringkat kerajaan negeri serta agensi berkaitan, khususnya pihak pengurusan Geopark Kebangsaan untuk memastikan semua strategi dan program yang terkandung dalam dokumen ini dapat dilaksanakan berdasarkan piawaian yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dan UGGp.
Kedua-dua pelan berkenaan telah dibangunkan bagi menyokong agenda Geopark Kebangsaan yang menjadi hasrat NRECC sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam menyelaras inisiatif pembangunan geopark dan jaringan geopark pada peringkat kebangsaan dan global.
NRECC juga menyesyorkan agensi yang dilantik selaku pelaksana geopark menggunakan dokumen tersebut sebagai panduan dalam membangunkan dan menguruskan sesuatu geopark dan menjadikannya bertaraf antarabangsa dan setara dengan UGGp.
Pada masa yang sama, NRECC turut memaklumkan bahawa JMG telah menjalankan aktiviti pemetaan warisan geologi, khususnya geotapak sejak tahun 1990-an untuk membangunkan kawasan geopark demi memelihara dan memulihara sumber warisan semula jadi di Malaysia.
Konsep pembangunan geopark melibatkan tiga elemen penting, iaitu pendidikan, pemuliharaan dan pembangunan secara lestari untuk memastikan sumber warisan geologi, biologi dan budaya terpelihara serta membolehkan penggunaan sumber warisan tersebut memperkasakan ekonomi komuniti setempat dan produk geopelancongan.