Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bermatlamatkan memajukan sains untuk kesejahteraan sejagat pada peringkat global, Majlis Sains Antarabangsa (ISC) mewujudkan Global Knowledge Dialogue (GKD) sebagai inisiatif untuk memperkasa sains di rantau Asia dan Pasifik.
GKD merupakan platform penting kepada penggubal dasar dan saintis untuk membincangkan integrasi sains dalam membangunkan pelan tindakan yang lebih komprehensif.
“Dalam menghadapi cabaran global, hubungan strategik dan jalinan kerjasama dapat membantu mewujudkan penyelesaian sejagat dengan menggesa rakan kongsi untuk memberikan sumbangan yang berterusan melalui kerjasama antarabangsa,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Arthur Joseph Kurup dalam satu kenyataan.
Menurut Presiden Akademi Sains Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, GKD memupuk pengetahuan yang komprehensif dan kolaborasi dalam dialog yang terbuka seumpama ini adalah penting dalam memformulasikan misi untuk membina masa hadapan yang lebih lestari.
Sementara itu, Presiden ISC, Sir Peter Gluckman menyatakan bahawa perubahan segera dan saksama perlu dilakukan bagi menuju kelestarian dalam setiap bidang serta mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) global menjelang tahun 2030.
ISC akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada UNESCO dan pertubuhan sains lain bagi memastikan pembangunan yang bermakna.
Pengarah International Science Council Regional Focal Point for Asia and the Pacific yang berpusat di Akademi Sains Australia, YBrs. Dr. Petra Lundgren pula menyatakan keterujaannya untuk bekerjasama dengan pelbagai akademi, persatuan dan institusi saintifik untuk membina suara global sains dalam rantau yang dinamik itu kerana bagi beliau siri GKD tersebut memulakan era kerjasama saintifik yang baharu dengan menghimpunkan pelbagai idea terbaik.
Tambah beliau, GKD memberikan tumpuan kepada peranan sains dalam mencapai SDG di Asia dan Pasifik dan kemudiannya hasil daripada pelbagai sesi tersebut akan memberikan maklumat kepada program ISC Regional Focal Point for Asia and the Pacific serta membantu mengenal pasti perkara yang menjadi keutamaan serantau, peluang dan cabaran, terutamanya bagi mewujudkan sains untuk kelestarian semasa dan pada masa akan datang.
Sebagai makluman, ISC telah mengadakan siri pertama GKD di Cape Town, Afrika Selatan pada 7 Disember 2022, manakala siri kedua diadakan semasa Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 pada 5 Oktober 2023 yang dihadiri oleh lebih 140 orang ahli daripada 30 negara dan akan diteruskan sepanjang tahun ini di Asia Pasifik dan Amerika Latin serta Caribbean pada tahun 2024.