Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan dalam penggunaan elektrik dan gas susulan musim peralihan monsun timur laut (MTL) di negara ini.
Menurut ST dalam satu kenyataan, keadaan cuaca semasa fasa peralihan MTL yang dijangkakan berterusan hingga November ini berpotensi menyebabkan banjir serta bencana lain yang seterusnya boleh mengakibatkan tiang elektrik tumbang, talian elektrik putus dan kerosakan kelengkapan elektrik dan gas.
Sekiranya mempunyai masa sebelum diarahkan berpindah, pastikan kelengkapan elektrik disimpan di tempat tinggi dan selamat daripada ditenggelami banjir, mematikan bekalan utama di papan agihan elektrik dan pepasangan elektrik yang disambungkan secara berasingan daripada suis utama seperti solar fotovoltaik (PV) atau pagar elektrik dan memastikan injap silinder gas atau gas perpaip ditutup.
Selain itu, orang ramai juga perlu mengelakkan daripada melalui kawasan yang mempunyai talian elektrik atau pepasangan elektrik seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air semasa berlakunya banjir serta mengelakkan diri daripada berada di lokasi yang terdapat talian elektrik putus.
ST turut mengingatkan orang ramai agar tidak memegang tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik selain dilarang untuk mengalihkan tiang elektrik yang tumbang atau talian elektrik putus, sebaliknya segera melaporkan hal tersebut kepada pihak utiliti elektrik.
Bagi memastikan keselamatan penggunaan elektrik dan gas selepas banjir, orang ramai perlu memastikan suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas berada pada kedudukan yang tertutup (posisi bawah) sebelum kerja pembersihan dimulakan.
Sebelum injap saluran gas dipasangkan (posisi atas) pada suis utama, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan kering serta mengelakkan menggunakan kelengkapan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya.