Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuncak Alam – Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam menganjurkan Program Memperkasakan Pejuang Kanser Payudara bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia.
Inisiatif tersebut telah diterajui oleh barisan pensyarah Fisioterapi dari FSK, UiTM Puncak Alam dengan kerjasama alumni pelajar Fisioterapi UiTM yang bertugas di Hospital Al-Sultan Abdullah dan sukarelawan pelajar Fisioterapi UiTM serta mendapat sokongan daripada pihak industri, iaitu PHYSIOGO Sdn. Bhd. dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).
“Program yang diadakan ini bermatlamat meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti pejuang kanser payudara tentang kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dalam meningkatkan kualiti hidup mereka,” kata Pengarah Program Memperkasakan Pejuang Kanser Payudara, Puan Aiman Nadia Akmar Rahman dalam program tersebut.
Tambah beliau, selain meningkatkan pengetahuan peserta tentang peranan dan manfaat rawatan fisioterapi dalam pengurusan pesakit kanser payudara, peserta juga dapat mengenal pasti isu kesihatan fizikal yang dihadapi oleh pejuang kanser payudara bagi menyediakan rawatan yang sesuai.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Fisioterapi, UiTM Puncak Alam, YBrs. Dr. Ida Hasni Shaari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan ahli jawatankuasa program kerana menjayakan program tersebut walaupun diadakan pada hari cuti.
Program seumpama ini diharapkan dapat membantu pejuang kanser payudara untuk terus menjaga kesihatan fizikal, meningkatkan kualiti hidup, memperkuat mental dan menjadi pejuang yang gigih dalam perjuangan melawan kanser payudara yang mereka hadapi.
Dalam program tersebut, para peserta mengikuti sesi senaman pilates, yakni senaman yang melibatkan kawalan minda dan otot badan dengan menggunakan theraband sebagai alat bantu bagi menguatkan otot dan mampu meningkatkan kesihatan fizikal pesakit kanser payudara yang dibimbing oleh pengasas AOLove Pilates Studio, Puan Tan Yee Lin.

Selain itu, para peserta turut menghadiri ceramah tentang kesan kanser payudara, komponen dan cara meningkatkan mutu kualiti hidup pejuang kanser payudara serta rawatannya terhadap kesihatan fizikal yang disampaikan oleh Puan Aiman Nadia Akmar.
Pengisian dalam ceramah itu juga menekankan peranan penting fisioterapi dalam rawatan kanser termasuklah membantu pemulihan fungsi fizikal pesakit, prahabilitasi untuk mengelakkan komplikasi serius, perawatan paliatif dan promosi kesihatan bagi meningkatkan mutu kualiti hidup pesakit serta mengoptimumkan fungsi fizikal pesakit.
Peserta juga berpeluang menjalani pemeriksaan fizikal seperti ujian komposisi badan, ujian kesihatan kardiovaskular, ujian kekuatan tangan, pemeriksaan aktiviti fizikal dan ujian fleksibiliti bahu serta mendapatkan perundingan berkenaan dengan fisioterapi secara percuma.
Menerusi ujian pemeriksaan fizikal tersebut, peserta dapat mengetahui status kesihatan masing-masing dan khidmat nasihat daripada pensyarah dalam bidang fisioterapi seperti YBrs. Profesor Madya Dr. Maria Justine, YBrs. Dr. Azliyana Azizan, YBrs. Dr. Fatim Tahirah dan Puan Sharmila a/p Gopala Krishna Pillai yang turut menyertai program tersebut.
Pada sesi akhir program, alumni Fisioterapi UiTM Puncak Alam merangkap ahli fisioterapi di Hospital Al-Sultan Abdullah mengadakan aktiviti sukaneka yang bertujuan memberikan semangat kepada pejuang kanser payudara yang terlibat dalam program berkenaan.