Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bertemakan “Aspirasi MADANI Memacu Inovasi”, Majlis Hari Inovasi DBP 2023 yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini bertujuan meraikan kemuncak usaha pengurusan tertinggi DBP dan seluruh karyawan DBP dalam membina budaya inovasi berpandukan kerangka kerja organisasi agar kepelbagaian idea kreatif dan inovatif dapat dicurahkan dalam usaha pembinaan dan pengembangan bahasa serta persuratan Melayu.
Tema yang dipilih itu adalah selari dengan satu daripada rukun Malaysia MADANI, iaitu daya cipta yang bertepatan dengan prinsip peri pentingnya karyawan DBP supaya berusaha dengan segenap kekuatan yang ada bagi memastikan segala produk dan perkhidmatan yang dihasilkan dapat memenuhi tahap kepuasan pengguna dan pihak berkepentingan.
“Dalam mendepani cabaran pendigitalan, DBP perlu melaksanakan transformasi digital yang bukan sahaja melibatkan proses inovasi dalam penghasilan produk dan perkhidmatan, malah mencari kaedah terkini, khususnya menerusi kemajuan teknologi untuk memenuhi keperluan dunia tanpa batas sempadan serta penciptaan gamifikasi dan aplikasi untuk telefon mudah alih yang menguasai kehidupan manusia pada masa ini juga perlu sentiasa diteroka,” kata Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Puan Lim Hui Ying ketika merasmikan Majlis Hari Inovasi DBP 2023.

Selari dengan arus pemodenan dunia dan perkembangan teknologi digital, pelbagai naratif kejayaan DBP telah terbukti menerusi penghasilan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), JendelaDBP, portal DBPNiaga, Sistem Pengesahan Bahasa dalam Talian, Studio DBP, sistem peperiksaan dalam talian, pameran secara digital, buku teks digital dan bermacam-macam lagi produk yang dihasilkan.
Tambah beliau, anugerah inovasi yang diberikan kepada karyawan DBP adalah untuk mengiktiraf segala sumbangan idea dan tenaga mereka sekali gus menaikkan semangat kepada penerima anugerah dan karyawan DBP yang lain untuk terus mencipta kejayaan.
Dalam ucapannya juga, YB Puan Lim Hui Ying menyatakan bahawa Anugerah Citra Sahabat seharusnya diteruskan pada setiap tahun kerana sinergi dan kerjasama dengan pelbagai agensi merupakan satu idea pintar yang mampu mengekalkan keakraban antara organisasi.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya menekankan agar seluruh warga DBP terus memperkuat azam dan memperkukuh tekad serta terus menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai asas kepada gerakan pembangunan dan penambahbaikan kualiti kerja dan kecemerlangan organisasi.

Tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah inovasi pada hari ini dan teruslah berdaya saing serta berusaha menjadi lebih baik setiap hari selari dengan tema Hari Inovasi DBP yang dipilih dan jadikannya sebagai pegangan dalam diri.
Menurut beliau, banyak pencapaian dan perubahan yang telah DBP lalui termasuklah dengan adanya dapatan dalam Kajian Separuh Penggal Pelan Strategik DBP 2021 – 2025 dan diharapkan pelan tersebut mampu membuahkan hasil yang “lumayan” kepada negara.
Tidak ketinggalan, khazanah warisan negara seperti pantun, peribahasa dan simpulan bahasa juga telah diberikan pendekatan baharu menggunakan platform digital hasil inisiatif daripada idea kreatif dan inovatif warga DBP sendiri, sekali gus menyumbang kejayaan kepada DBP dalam menyebarluaskan bahasa Melayu dan memudahkan masyarakat mendapatkan sesuatu maklumat.
Selain memperhebat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan DBP kepada pelanggan dan kualiti dalam prestasi kerja warga DBP, kesemua inovasi yang dihasilkan oleh karyawan DBP mampu menarik perhatian generasi muda untuk bersama-sama berpantun dan memberikan respons positif terhadap maklumat yang dimuat naik oleh DBP melalui media sosial.
Dalam majlis yang sama turut diadakan Prapelancaran Galeri Bahasa dan Persuratan Melayu (GBPM) yang berperanan dalam mengumpul, mendokumentasikan, memulihara, melestarikan, mempamerkan maklumat, koleksi dan objek sejarah serta perkembangan bahasa dan persuratan Melayu, khususnya di Malaysia.

Pelaksanaan kerja pembangunan GBPM sebagai sebuah pusat maklumat setempat yang akan membentuk persepsi kepada khalayak tentang fungsi dan matlamat DBP dalam konteks pembangunan bahasa dan sastera negara dijangkakan dilakukan pada awal tahun hadapan.
Selanjutnya, majlis turut dimeriahkan dengan sesi penyampaian Anugerah Inovasi DBP 2023 yang melibatkan Anugerah Citra Sahabat DBP, Hadiah Pertandingan Mencipta Tema Hari Inovasi DBP, Anugerah Karyawan Inovatif DBP, Anugerah Citra Karya DBP, Anugerah Citra Program DBP dan Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP oleh YB Puan Lim Hui Ying.


Majlis yang berlangsung hampir dua jam itu diakhiri dengan sesi penyerahan cenderamata dan persembahan khas oleh Kumpulan Penari Inz Dancer yang mempersembahkan persembahan wayang kulit, puisidra “Seorang Tua Bernama Bahasa” yang dipersembahkan oleh Encik Muhamad Rafiq Abdul Rahman dan Puan Diana Zamri serta dendangan lagu “Bahasa Sanjungan Bangsa” daripada Kumpulan Aksara DBP.


Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Anuar Haji Rethwan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs. Encik Zulfa Hamzah, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah-pengarah Jabatan, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Unit, tetamu undangan dan karyawan DBP.
SENARAI PENERIMA ANUGERAH INOVASI DBP 2023
| KATEGORI | PENERIMA |
| Anugerah Citra Sahabat DBP
(Individu) |
(i) Dato’ Ronald Gan Yon Ghoe
(ii) Profesor Madya Rohazar Wati Zuallcobley |
| Anugerah Citra Sahabat DBP
(Sektor Awam) |
(i) Universiiti Tun Hussein Onn Malaysia
(ii) Unit Drama TV RTM |
| Anugerah Citra Sahabat DBP
(Sektor Swasta) |
(i) Taylor’s University
(ii) Astro Radio |
| Anugerah Citra Sahabat DBP (Persatuan) | Persatuan STEM Kebangsaan |
| Anugerah Citra Sahabat DBP (Media Elektronik) | KUPIKUPIFM Sabah dan Sarawak |
| Anugerah Citra Sahabat DBP (Media Cetak) | Suara Sarawak |
| Hadiah Pertandingan Mencipta Tema Hari Inovasi DBP | Puan Ezura As’ad Azam |
| Anugerah Karyawan Inovatif DBP | Puan Nur Asyikin Ahmad Zauzi |
| Anugerah Citra Karya DBP (Karya Kreatif) | Encik Mohd Faizal Rus Rzerli |
| Anugerah Citra Karya DBP (Karya Bukan Kreatif) | Encik Abd Kadir Mohd Ayub |
| Anugerah Citra Program DBP | Bahagian Perkamusan dan DBP Cawangan Sabah |
| Anugerah Inovasi Ketua Pengarah DBP | Inovasi Penerbitan daripada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi |
Kredit gambar: Mohd Farid Janudin dan Muhammad Adib Zulkifli