3 Oktober 2023, 21:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tidur merupakan proses rehat semula jadi yang penting untuk kesihatan badan manusia. Tidur bukan sahaja merehatkan badan, malah berperanan dalam mengawal selia metabolisme tubuh, menguatkan sistem imuniti dan daya ketahanan serta membantu mengurangkan risiko penyakit kronik.

Oleh sebab itu, setiap individu harus mendapat tidur yang berkualiti. Kualiti tidur mampu mempengaruhi tahap produktiviti serta fungsi fizikal dan mental seseorang pada keesokan harinya.

Namun demikian, terdapat sebahagian daripada kalangan masyarakat yang mengalami masalah berkaitan tidur. Masalah ini dikenali sebagai insomnia.

Gejala, Kesan dan Faktor Risiko Insomnia

Insomnia menyebabkan seseorang itu mengalami kesukaran untuk tidur. Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature and Science of Sleep pada tahun 2021, hampir 55 peratus daripada keseluruhan responden melaporkan bahawa jumlah tidur mereka kurang daripada tujuh jam sehari.

Terdapat juga laporan akhbar yang melaporkan bahawa sembilan daripada 10 orang dewasa di Malaysia mengalami masalah berkaitan tidur dan hanya tidur selama 6.3 jam sehari secara purata. Statistik ini merupakan hasil tinjauan yang dilakukan pada tahun 2018 oleh sebuah syarikat penganalisis data terkemuka.

Sukar memberikan tumpuan, fungsi kognitif yang lemah, kurang bertenaga dan gangguan emosi merupakan sebahagian daripada gejala dan kesan insomnia. Di samping itu, insomnia boleh menyumbang kepada peningkatan risiko obesiti, ketidakseimbangan hormon, kekurangan imuniti badan serta penyakit mental, diabetes dan masalah kardiovaskular.

Beberapa perkara juga telah dikenal pasti sebagai faktor risiko insomnia seperti umur, jantina, keadaan persekitaran, pekerjaan, gaya hidup dan tahap stres.

Fungsi Melatonin dalam Kitaran Tidur Manusia

Melatonin merupakan sejenis hormon yang terdapat dalam badan manusia. Hormon ini dirembeskan oleh kelenjar pineal pada waktu malam dan berfungsi mengawal kitaran tidur dan bangun.

Melatonin membantu individu untuk tidur yang turut dipengaruhi oleh kualiti dan konsistensi rehat. Namun begitu, penghasilan melatonin oleh badan mula berkurang dengan peningkatan usia.

Melatonin juga boleh diperoleh daripada sumber makanan seperti pisang, plum, anggur, nasi, bijirin, herba, nanas, oren dan minyak zaitun. Apabila seseorang itu mengambil makanan yang tinggi dengan kandungan melatonin, paras melatonin dalam darahnya juga akan meningkat dengan ketara.

Risiko Penggunaan Produk Mengandungi Melatonin yang Tidak Berdaftar

Dari aspek undang-undang di Malaysia, sediaan ubat-ubatan yang mengandungi melatonin dikelaskan dalam Kumpulan C (Jadual Pertama Akta Racun 1952) yang membolehkan produk melatonin dibekalkan oleh ahli farmasi, doktor, doktor gigi dan doktor veterinar yang berdaftar dan berlesen.

Walau bagaimanapun, masih tiada produk melatonin diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk penggunaan di Malaysia hingga kini. Pada masa yang sama, beberapa negara lain seperti United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah, Jepun, Australia dan Kanada juga tidak membenarkan penggunaan produk mengandungi melatonin walaupun sebagai produk ubat am atau ubat belian kaunter.

Kajian yang dijalankan di Kanada sebelum larangan penjualan dikuatkuasakan telah menunjukkan dapatan yang perlu diberikan perhatian. Kajian ini melibatkan sebanyak 31 produk melatonin.

Antara keputusan utama yang diperoleh termasuklah terdapatnya perbezaan yang jelas antara peratus kuantiti sebenar bahan aktif melatonin dengan kuantiti yang dilabelkan. Sisihan yang sangat ketara ini menunjukkan bahawa produk melatonin tersebut berkemungkinan dihasilkan tanpa mematuhi prosedur operasi standard, tidak menepati garis panduan berkaitan Amalan Pengilangan Baik dan kawalan kualiti yang lemah dalam kalangan pengeluar produk tersebut.

Produk seperti ini berisiko mendatangkan kesan yang tidak diingini kepada pesakit kerana kandungannya yang tidak seragam. Contohnya, produk yang mengandungi bahan aktif yang terlalu tinggi boleh mendatangkan kesan mudarat kepada pengguna.

Antara kesan sampingan yang boleh dialami, terutamanya jika dos melatonin terlalu tinggi termasuklah sembelit, cirit-birit, keresahan, sawan dan masalah pernafasan. Sebaliknya, sekiranya dos yang diberikan terlalu rendah, produk tersebut pula berkemungkinan tidak dapat memberikan kesan yang sewajarnya kepada pengguna.

Di samping itu, melatonin juga tidak digalakkan bagi wanita mengandung dan individu yang mengalami ketagihan alkohol. Produk yang mengandungi melatonin juga tidak digalakkan kepada individu yang sedang mengambil ubat-ubatan tertentu seperti Fluvoxamine, Carbamazepine, Rifampicin, Warfarin, hormon yang mengandungi estrogen dan ubat tidur daripada kumpulan benzodiazepina atau bukan benzodiazepina kerana terdapat risiko interaksi yang mungkin berlaku.

Nasihat kepada Orang Awam

Orang awam hendaklah lebih berhati-hati apabila berhasrat untuk membeli atau menggunakan produk yang mengandungi melatonin memandangkan produk ini tidak didaftarkan oleh PBKD Malaysia untuk dipasarkan atau digunakan sebagai rawatan insomnia. Penggunaan produk tidak berdaftar dikhuatiri membahayakan pengguna.

Sebagai alternatif kepada produk melatonin, orang awam dan khususnya, individu yang mempunyai masalah insomnia dinasihatkan agar mengamalkan tabiat tidur yang sihat. Menurut saranan daripada American Academy of Sleep Medicine, setiap individu hendaklah mengekalkan jadual tidur yang konsisten pada setiap hari, iaitu dengan bangun dan tidur pada waktu yang sama, termasuklah semasa hari cuti. Selain itu, persekitaran tidur yang kondusif turut digalakkan, misalnya dengan memastikan bilik tidur disediakan dalam keadaan sunyi, gelap, dingin dan selesa untuk tidur.

Selain itu, untuk tidur yang berkualiti, gajet dan peralatan elektronik yang terdapat di dalam bilik harus dimatikan sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu tidur. Alatan elektronik yang dimaksudkan termasuklah telefon bimbit, komputer dan televisyen.

Bukan itu sahaja, makanan dengan jumlah yang besar serta minuman beralkohol atau kafein juga hendaklah dielakkan apabila sudah menghampiri waktu tidur.

Saranan yang seterusnya pula berkaitan dengan aktiviti fizikal, iaitu orang awam digalakkan untuk bergerak aktif pada waktu siang, misalnya dengan bersenam agar mudah untuk tidur pada waktu malam. Tabiat merokok, menonton televisyen atau bermain permainan video hingga lewat malam juga harus dihentikan kerana boleh mendatangkan kesan terhadap kitaran tidur seseorang.

Kesimpulannya, masalah berkaitan tidur seperti insomnia mungkin boleh dirawat dengan menggunakan melatonin, namun penggunaannya masih belum diluluskan di Malaysia. Individu yang mengalami insomnia dan orang awam lebih digalakkan untuk mengamalkan tabiat tidur dan gaya hidup yang sihat. Orang awam juga disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor sekiranya mengalami masalah insomnia yang berlarutan.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Khairul Naim Zainal Abidin, Pegawai Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.