Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melancarkan i-Kitar, sebuah aplikasi digital kitar semula.
Aplikasi i-Kitar telah dibangunkan dengan berkonsepkan perkongsian pintar antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan KPKT serta pihak swasta yang diselia oleh SWCorp bagi meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dengan mendigitalisasikan aktiviti kitar semula ke arah pembayaran tanpa tunai.
“Insentif i-Kitar dilaksanakan dengan setiap pembelian barangan kitar semula digandakan sebanyak 50 peratus daripada nilai semasa, misalnya pengguna yang menghantar barangan kitar semula yang bernilai RM10 akan dibayar sebanyak RM15,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, usaha tersebut adalah sejajar dengan hasrat dan usaha KPKT untuk meningkatkan potensi dan memudah cara ekosistem ekonomi kitaran dengan lebih meluas serta bertepatan dengan nilai teras Malaysia MADANI, iaitu kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan.
Pada masa yang sama, beliau juga telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) Inisiatif Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Sifar Sisa Bersamamu MADANI (SSBM) yang bertemakan “Digitalisasi Kitar Semula”.
Beliau menyatakan bahawa PKKB bermatlamat menyebarluaskan manfaat dari sudut pengukuhan modal insan yang lebih mampan melalui pelaksanaan program komuniti bandar di seluruh negara.
Ujar beliau, pelaksanaan PKKB juga adalah untuk mencapai objektif di bawah Tiga Matlamat Pembangunan Mampan, iaitu memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur; menjadikan bandar dan penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan; serta menggalakkan masyarakat yang aman untuk pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi yang berkesan, bertanggungjawab dan menyeluruh pada semua peringkat.
KPKT melalui SWCorp juga telah menggariskan lima matlamat bagi Inisiatif Komuniti PPR Sifar Sisa Bersamamu MADANI, iaitu mensasarkan sebanyak 70 peratus premis di 17 PPR dengan melaksanakan program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) menjelang tahun 2025; sasaran kadar kitar semula sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025, digitalisasi kitar semula seiring dengan perkembangan pesat teknologi maklumat; meningkatkan pendapatan golongan B40; serta memastikan kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan Inisiatif Pusat KOSIS di PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu telah diperkenalkan pada Januari 2020 dengan pelibatan sebanyak 1002 unit atau 51 peratus premis berpenghuni.
Sebanyak 96 627 kilogram barangan kitar semula, 3306 kilogram minyak masak dan 4085 kilogram sisa makanan telah dikumpulkan dengan nilai jualan berjumlah RM37 253.20 dari tahun 2020 hingga Ogos 2023.
Sementara itu, menerusi Program Kebun Komuniti, hasil tuaian yang direkodkan adalah sebanyak 821.4 kilogram tuaian dengan nilai jualan berjumlah RM3962.
Usaha ke arah pendigitalan kitar semula, khususnya dalam kalangan penduduk PPR Hiliran, Kuala Terengganu dan keseluruhan negara amnya diharapkan dapat dibudayakan dalam kehidupan seharian.