Oleh Abd Razak Osman
1 Oktober 2023, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Majlis Apresiasi Rakan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Negeri Kedah 2023 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) yang diadakan di Hotel Park Avenue bertujuan mengiktiraf dan menghargai rakan strategik yang banyak menyumbang serta menyokong dalam menjayakan ANMS.

Sebanyak 200 orang rakan strategik JKNK yang hadir dan berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan kesenian dalam majlis tersebut.

“ANMS dilaksanakan selama 10 tahun, iaitu bermula tahun 2021 hingga tahun 2030 yang memfokuskan promosi pembudayaan hidup sihat, memantapkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran,” kata Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Dr. Othman Warijo ketika memberikan ucapan alu-aluan.

Tambah beliau, jika semua pihak berjaya memainkan peranan masing-masing dengan menjaga kesihatan diri sendiri, beliau yakin bahawa kerjasama yang terjalin itu dapat diteruskan dan dimantapkan bagi mendepani pelbagai cabaran yang akan datang.

Pada masa yang sama, sesi penyampaian Anugerah Ikon ANMS 2023 turut diberikan kepada seorang warga emas yang mengusahakan produk madu kelulut, Encik Khali Abdul Alim Ahmad (77 tahun) yang berasal dari Kampung Kepala Bukit Tobiar, Pendang dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar, Durar Camalia Abdul Razak (18 tahun) yang aktif dalam sukan skuasy di Kedah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Yang Berhormat Mejar (B) Mansor Zakaria turut menyampaikan anugerah pelbagai kategori lain kepada penduduk yang aktif dalam kegiatan kesihatan di negeri ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.