Diterbitkan pada 1 Oktober 2023, 22:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nabawan – Pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) menerusi Kembara Sains Borneo (KSB) anjuran Pusat Sains Negara (PSN) dan Akademi Sains Malaysia dapat membantu negara melahirkan modal insan yang mencukupi dalam bidang sains bagi menampung permintaan dalam industri berasaskan teknologi yang menawarkan pelbagai potensi ekonomi serta peluang pekerjaan dengan tawaran gaji yang lumayan.

Program KSB Siri Kedua menerima sambutan yang sangat memberangsangkan daripada masyarakat Sabah dengan mencatatkan bilangan pengunjung sebanyak 10 ribu pengunjung, melebihi sasaran yang telah ditetapkan.

“Saya yakin dengan data dan sambutan yang amat baik daripada komuniti di setiap lokasi KSB, terutamanya komuniti pedalaman Sabah, program seumpama ini dapat dipertimbangkan sebagai program berkala yang wajar diadakan bagi memastikan aspek pembudayaan STI dilaksanakan secara menyeluruh,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Arthur Joseph Kurup ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup KSB Siri Kedua Tahun 2023.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sains Negara, Puan Mismah Jimbun menyatakan bahawa PSN telah membawakan pengalaman sesebuah pusat sains kepada komuniti setempat di tiga lokasi terpilih di Sabah, iaitu Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan dengan menawarkan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains tidak formal berkonsepkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat dan penyertaan adalah percuma.

Menurut beliau, bahan pameran interaktif yang dibawakan khas dari Kuala Lumpur itu bernilai hampir dua juta bagi memberikan pengalaman kepada masyarakat agar dapat merasai keseronokan pembelajaran dalam bidang STI.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Senator Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan, Ahli Undangan Negeri Nabawan, YB Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YBhg. Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik MOSTI, YBrs. Dr. Noraisah Spahat, Ketua Eksekutif Institute for Development Studies (Sabah), YBhg. Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul dan Pegawai Daerah Nabawan, Encik Peter Jiton.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi