Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensinya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) siap siaga bagi memastikan jaringan perhubungan rakyat tidak terjejas sekali gus keselamatan pengguna dapat dipertingkat semasa menghadapi musim peralihan monsun.
Sebanyak 2580 aset jentera yang merangkumi aset persekutuan dan negeri seperti kenderaan pacuan empat roda, jentera kaut, lori muatan tiga tan dan lima tan serta jentera penyodok telah bersedia untuk digerakkan bagi tujuan pengangkutan petugas dan misi bantuan, pemantauan, pemulihan dan pembaikan infrastruktur, pembaikan cerun serta pemindahan mangsa.
“Hal ini adalah selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20, yakni JKR telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kenderaan dan tenaga kerja bagi kerja penyelenggaraan tempat kejadian bencana dan logistik pengangkutan,” kata Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, JKR juga berperanan bagi menyediakan tempat perlindungan sementara seperti kanopi atau khemah, menyediakan perkhidmatan teknikal dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan forensik, geoteknik, struktur dan hal lain seperti kejadian tanah runtuh dan kegagalan struktur bangunan atau tanah serta melaksanakan penilaian kerosakan infrastruktur awam akibat bencana.
Menurut beliau, Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR akan memeriksa dan memastikan sistem saliran cerun dalam keadaan baik dan mengenal pasti tanda awal kegagalan cerun di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri.
Cerun yang berkategori risiko tinggi dan sangat tinggi yang dikenal pasti akan diberikan perhatian serta kekerapan rondaan dan pemeriksaan akan dipertingkat.
Jelas beliau, sebanyak 35 bilangan stesen tolok hujan di cerun kritikal sepanjang Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia meliputi Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor telah diselenggara dan berfungsi dalam keadaan baik.
Beliau juga menyatakan bahawa had amaran semasa akan dipaparkan pada laman sesawang Sistem Amaran Awal Cerun JKR dan amaran melalui sistem pesanan ringkas akan diterima apabila kadar hujan melebihi nilai ambang sebagai amaran awal tanah runtuh.
Sementara itu, sebanyak 12 stesen tolok hujan di Sabah dan Sarawak sedang dalam permohonan kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan.
KKR turut siap siaga menggerakkan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau “Bailey Bridge” yang merupakan jambatan sementara yang boleh dipasang siap dalam tempoh minimun 36 jam sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan yang terputus akibat bencana.
Mengulas lebih lanjut, jambatan tersebut adalah antara aset penting di KKR yang terbukti berkesan dalam usaha kementerian mengambil tindakan pantas bagi menghadapi bencana alam.
Pada masa ini, JKR mempunyai jumlah simpanan JPKB berkepanjangan 1960 kaki yang disimpan di dalam tujuh stor penyimpanan di seluruh Semenanjung Malaysia meliputi zon utara, zon tengah, zon selatan dan zon timur.
Ujar beliau lagi, JKR juga akan mengaktifkan prosedur operasi standard bagi jalan raya yang terjejas akibat bencana dengan melaksanakan penutupan jalan secepat mungkin untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya, memberikan amaran bencana kepada orang ramai, menyediakan laluan alternatif, membina lencongan jalan dan melaksanakan kerja pembaikan atau pembinaan kekal.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan bahawa Malaysia berada pada fasa akhir monsun barat daya pada September 2023 dan dijangkakan memasuki fasa monsun timur laut pada November 2023 hingga Februari 2024.
Maklumat berkaitan dengan kejadian bencana jalan raya boleh diperoleh dalam Portal Pengurusan Bencana JKR, Twitter JKR Malaysia, Facebook JKR Malaysia serta boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) di talian 03-26107559/03-26107727.
Sebarang maklumat mengenai kerosakan jalan raya yang terjejas akibat bencana boleh disalurkan melalui aplikasi aduan MyJalan yang boleh didapati secara percuma dengan memuat turun App Store untuk sistem operasi iOS, Play Store untuk pengguna sistem operasi Android dan Huawei AppGallery untuk pengguna Huawei.