Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Hingga 21 September 2023, tiada kes baharu penyakit nipah dalam kalangan manusia dilaporkan di Malaysia sejak kes nipah yang terakhir berlaku pada 27 Mei 1999.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia selepas wabak nipah berleluasa di negara ini pada tahun 1998 hingga tahun 1999 bagi berkongsikan maklumat survelan virus nipah dalam kalangan haiwan liar dan haiwan domestik.
“Malaysia telah diisytiharkan bebas daripada penyakit nipah pada tahun 2001 oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia berikutan tiada sampel haiwan yang ditemukan positif virus nipah hingga kini,” kata Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penyakit nipah merupakan penyakit zoonotik akibat penyebaran virus daripada haiwan kepada manusia yang mampu mengakibatkan komplikasi keradangan pada otak dan mengganggu saluran pernafasan dengan kadar kematian sebanyak 40 peratus hingga 70 peratus dalam kalangan manusia yang dijangkiti.
Penyakit ini juga dikaitkan dengan gangguan pada sistem pernafasan pada haiwan seperti khinzir dan ada kalanya melibatkan gangguan sistem saraf dan kematian kepada ternakan tersebut.
Perumah semula jadi bagi virus nipah ialah keluang daripada famili Pteropodidae dan penyebaran virus ini kepada perumah perantaraan (khinzir) adalah melalui sentuhan langsung atau makanan yang tercemar dengan najis, air kencing ataupun air liur keluang.
Tambah beliau, jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan khinzir yang dijangkiti atau darah, cecair dan rembesan khinzir tersebut selain melalui pengambilan makanan seperti buah-buahan dan minuman seperti nira pokok kurma, pokok kelapa atau pokok nipah yang tercemar dengan air liur atau cecair badan kelawar yang dijangkiti.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa sentuhan langsung melalui rembesan (darah, cecair badan dan rembesan pernafasan) manusia yang dijangkiti juga boleh mengakibatkan jangkitan antara manusia dengan manusia.
Jelas beliau, penyakit nipah bukan sahaja menyebabkan demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan, malah komplikasi keradangan pada otak, penyakit saluran pernafasan dan kematian juga boleh berlaku.
Susulan itu, orang awam, terutamanya pengembara yang mengunjungi kawasan berisiko tinggi berlakunya penyakit nipah dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah pencegahan dengan mengamalkan mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air; mengelakkan diri daripada bersentuhan dengan keluang atau khinzir yang sakit; menghindarkan diri daripada berada dalam kawasan keluang berkumpul; mengelakkan pengambilan buah-buahan dan nira daripada pokok yang disyaki tercemar dengan air liur atau cecair badan keluang serta menjauhkan diri daripada sentuhan langsung dengan rembesan (darah, cecair badan dan rembesan pernafasan) orang yang dijangkiti penyakit nipah.
Sementara itu, beliau juga menasihatkan agar pengembara yang pulang ke Malaysia dari negara yang berisiko tinggi jangkitan penyakit nipah untuk melakukan pemantauan kendiri tanda dan gejala jangkitan virus nipah selama 14 hari dan mengelakkan berhubung dengan orang Iain serta mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran dengan segera sekiranya bergejala.
KKM akan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap penyakit nipah dengan kerjasama daripada pelbagai agensi berkaitan bagi memantau kejadian penyakit ini.
Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyakit nipah boleh melayari laman sesawang Info Sihat dan portal MyHEALTH.