Diterbitkan pada 20 September 2023, 08:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Setelah memanfaatkan penggunaan teknologi nuklear secara aman sejak tahun 1897, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Chang Lih Kang telah melancarkan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 sebagai agenda negara bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memulihara sumber asli dan alam sekitar, di Hotel Putrajaya Marriot, hari ini.

DTNN 2030 ialah dasar yang penting dalam usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangka hala tuju strategik jangka panjang bagi memacu pembangunan teknologi nuklear negara sehingga tahun 2030.

Menurut YB Chang Lih Kang dalam Majlis Pelancaran DTNN 2030, pelaksanaan DTNN 2030 akan membolehkan negara memaksimumkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk pembangunan sosio-ekonomi negara dan meletakkan negara ini setanding dengan negara lain.

Saya juga menyeru penglibatan semua pihak dalam pelaksanaan dasar DTNN ini menerusi kolaborasi bersama-sama MOSTI demi menguar-uarkan penggunaan teknologi nuklear secara aman di Malaysia, sekaligus memberikan impak yang positif kepada rakyat Malaysia menerusi kegunaan nuklear dalam kehidupan seharian.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 di Hotel Putrajaya Marriot, Putrajaya, hari ini. 

DTNN 2030 digubal dengan menggunakan pendekatan yang bersepadu dan holistik melibatkan pemegang taruh pada pelbagai peringkat merangkumi kementerian, agensi, institusi akademik, pemain industri, badan bukan kerajaan dan masyarakat awam.

“Melalui kerangka DTNN 2030 berserta dokumen pelan tindakan yang telah disediakan, sasaran penggunaan teknologi nuklear dalam bidang khusus sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) negara disasarkan akan meningkat sebanyak 40 peratus daripada data asas bidang STIE semasa,” hurainya lagi.

Sehubungan dengan itu, DTNN 2030 telah meletakkan strategi yang kukuh bagi menjayakan transformasi bidang teknologi nuklear yang bakal dipacu melalui kerjasama awam dan swasta bagi meningkatkan tahap penerimaan teknologi ini.

 

DTTN 2030 menyasarkan penggunaan teknologi nuklear meningkat sebanyak 40 peratus dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi.

DTNN 2030 menetapkan sebanyak empat teras strategik, 18 strategi dan 13 sasaran utama yang melibatkan pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor ekonomi yang telah dikenal pasti bagi mencapai visi dan hala tuju ekosistem teknologi nuklear negara.

Selain itu, dasar ini telah mengenal pasti enam sektor fokus utama, iaitu perubatan dan penjagaan kesihatan; makanan dan pertanian; pembuatan peranti dan peralatan; pengurusan alam sekitar dan sumber asli; aplikasi perindustrian; dan keselamatan dan sekuriti nuklear sebagai sektor yang boleh dipertingkatkan keupayaannya melalui penggunaan teknologi nuklear.

Rangka kerja tadbir urus bagi melaksanakan DTNN 2030 akan diterajui oleh MOSTI di samping merangka pembangunan dasar yang berkaitan sains dan teknologi nuklear.

Nuklear Malaysia pula akan bertindak sebagai agensi penyelaras untuk platform kerjasama nasional, termasuklah projek strategik berkaitan teknologi nuklear. Nuklear Malaysia juga akan menerajui Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear Kebangsaan yang keahliannya terdiri daripada pakar teknikal daripada agensi kerajaan yang berkaitan, institusi berasaskan negeri, pengawal selia, sektor swasta dan ahli akademik yang akan berperanan untuk menyelaras, meneliti serta menasihati aspek teknikal berkaitan teknologi nuklear dalam pelaksanaan dasar ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang melawat pameran bersempena dengan Majlis Pelancaran Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 di Hotel Putrajaya Marriot, Putrajaya.

DTNN juga akan mewujudkan ekosistem teknologi nuklear negara yang kondusif yang seterusnya akan melonjakkan sektor sosioekonomi negara ke arah negara maju dan berteknologi tinggi serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Kejayaan pelaksanaan DTNN akan memperkasa ekosistem dan industri nuklear tempatan yang secara langsung akan membantu negara mencapai aspirasi sebagai negara maju dan berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi