Diterbitkan pada 20 September 2023, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hulu Selangor Loji Tenaga Boleh Baharu (TBB) terbesar di Malaysia dengan kapasiti 12 megawatt (MW) yang terletak di Bukit Tagar Enviro Park (BTEP), Hulu Selangor telah mula beroperasi.

Pengoperasian loji TBB tersebut merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Syarikat Berjaya Enviro Parks Sdn. Bhd. (BEPSB) bagi memastikan kelestarian sistem pengurusan sisa pepejal negara yang lebih mampan di Malaysia.

“Inisiatif yang dilaksanakan itu adalah selaras dengan polisi kerajaan menerusi kementerian untuk membangunkan sekurang-kurangnya satu fasiliti pengurusan sisa pepejal berkonsepkan “Sisa kepada Tenaga (WtE)” di setiap negeri di Malaysia,” kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Nga Kor Ming dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, inisiatif baharu mengenai pelaksanaan ekonomi kitaran, pemerkasaan teknologi, pembangunan WtE yang menjadi kaedah dalam merawat sisa pepejal dan menjana TBB serta fasiliti pengurusan sisa pepejal akan terus dilaksanakan bagi memastikan penjagaan alam sekitar pada masa hadapan.

BTEP yang mula beroperasi pada April 2005 ialah tanah milik kerajaan dan berkeluasan 283 hektar bagi tujuan pembinaan tapak pelupusan, manakala 404.7 hektar tanah lagi sebagai zon penampan yang mengelilingi tapak ini.

Jelas beliau, tapak pelupusan tersebut telah direka bentuk untuk melupuskan sisa pepejal sebanyak 2500 tan sisa pepejal sehari dan mempunyai jangka hayat melebihi 40 tahun dan kini, BTEP telah berjaya mengurus dan melupuskan sebanyak 17 juta tan sisa pepejal dari kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau juga menyatakan bahawa BTEP berupaya menukarkan gas metana daripada sisa pepejal kepada tenaga boleh baharu, yakni kira-kira 339 juta kilowat-jam (kWj) tenaga elektrik disalurkan ke grid nasional.

Penghasilan tenaga dapat mengurangkan sebanyak 2.7 juta tan karbon di bawah skim Mekanisme Pembangunan Bersih, bersamaan dengan 43.6 juta anak pokok yang ditanam dalam tempoh 10 tahun, pengurangan penggunaan sebanyak 296 juta liter petrol dan sebanyak 570 000 kereta yang dipandu dalam tempoh setahun juga dapat dikurangkan.

Ujar beliau lagi, inisiatif tersebut adalah selaras dengan sasaran negara untuk mencapai tenaga boleh baharu sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2035 berikutan sektor sisa pepejal ialah satu daripada penyumbang kepada pencapaian tersebut melalui teknologi WtE.

Semua pihak perlu memainkan peranan yang proaktif bagi memastikan pengurusan sisa pepejal di Malaysia dapat memberikan impak yang tinggi, berdaya maju dan lestari.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi