19 September 2023, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Skim Perubatan MADANI (SPM) diperluas ke seluruh Malaysia mulai 15 September bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk mendapatkan rawatan pesakit luar ringan secara percuma di klinik swasta yang berdaftar tanpa perlu membayar sebarang caj.

Menerusi inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan itu, segala kos rawatan pesakit akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan dibayar secara langsung kepada klinik swasta yang terlibat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat menghargai sokongan daripada semua klinik swasta yang telah menyertai SPM berikutan lebih daripada 130 ribu rawatan pesakit luar telah diberikan melalui lebih 1300 klinik swasta yang terlibat sejak skim ini diperkenalkan dan kerjasama ini diharapkan akan berterusan dalam jangka masa panjang,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, KKM telah menerima dan mempertimbangkan segala input dan cadangan daripada pelbagai pihak berhubung dengan skim berkenaan sejak pelancarannya pada 15 Jun lalu.

Tambah beliau, beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan bagi menambah baik skim tersebut termasuklah peningkatan had fi perundingan daripada RM30.00 kepada RM35.00, peningkatan jumlah had fi ubat daripada RM60.00 kepada RM70.00, bilangan jenis ubat yang disenaraikan dalam pakej SPM turut ditingkatkan daripada 150 kepada 170 jenis dan kadar bayaran yang ditetapkan untuk ubat-ubatan akan disemak dan dikemas kini agar selaras dengan harga pasaran semasa.

Dalam hal ini, klinik perubatan swasta di seluruh negara sangat dialu-alukan untuk mendaftar sebagai klinik panel SPM agar lebih banyak rakyat di negara ini dapat menikmati manfaat skim tersebut.

Penerima STR boleh menyemak kelayakan dan senarai klinik SPM yang berdekatan melalui laman sesawang ProtectHealth dan hanya perlu membawa kad pengenalan untuk pengesahan di klinik semasa pendaftaran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.