16 September 2023, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Rentetan daripada sambutan yang menggalakkan bagi Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang) Fasa Satu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) meneruskan inisiatif KLAS Renang Fasa Dua mulai bulan ini hingga Disember 2023.

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Puan Yeoh Tseow Suan telah melancarkan program KLAS Renang Fasa Dua di Pusat Kecemerlangan Akuatik, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, hari ini.

Program tersebut diperluas ke 36 buah lokasi di seluruh negara dengan sasaran penyertaan sebanyak 5760 orang kanak-kanak yang berumur antara enam tahun hingga 12 tahun daripada keluarga B40 yang bertujuan mengurangkan kadar kematian akibat lemas menerusi pendedahan teknik asas berenang.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KBS, maklum balas positif yang diperoleh dalam program KLAS Renang Fasa Satu yang dilancarkan pada Mei lalu, yakni sebanyak 739 orang peserta dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun hingga 12 tahun telah melengkapkan pembelajaran dan latihan dengan purata menguasai kemahiran asas berenang sebanyak 90 peratus, terutamanya pembinaan keyakinan di dalam air serta pelbagai teknik kemahiran renang.

Selain kekal bekerjasama dengan Allianz Malaysia Berhad dan Nestle Products Sdn. Bhd., program berkenaan turut berkolaborasi dengan rakan strategik baharu, iaitu Decathlon (M) Sdn. Bhd. serta Pos Malaysia Berhad.

Mulai 16 Ogos 2023, prapendaftaran bagi penyertaan program KLAS Renang Fasa Dua telah dibuka dan dihebahkan melalui media sosial JBSN dan Sekretariat JBSN akan menghubungi ibu bapa atau penjaga kepada peserta yang berjaya bagi penyelarasan lanjut.

Selain itu, projek rintis di bawah program KLAS Renang yang melibatkan 20 orang kanak-kanak di bawah umur enam tahun, 40 orang warga emas dan 20 orang kurang upaya (OKU) juga sedang dilaksanakan oleh KBS.

Selaras dengan aspirasi di bawah Visi Sukan Negara 2030 dan kerangka Malaysia MADANI, usaha yang dilaksanakan diharapkan dapat memperkasakan lagi hasrat KBS dalam membudayakan dan merakyatkan sukan.

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan program KLAS Renang Fasa Dua, orang awam boleh menghubungi Sekretariat JBSN di talian 03-88713415 atau e-mel ke [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.