15 September 2023, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Notifikasi dua produk kosmetik, iaitu Beaute Treatment Cream dan Beaute Nite Cream telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mengandungi racun berjadual dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia lagi.

Produk Beaute Treatment Cream dikesan mengandungi racun hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-vaIerate, manakala produk Beaute Nite Cream pula mengandungi merkuri dan betamethasone 17-vaIerate yang boleh menjejaskan kesihatan penggunanya.

“Selain menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan serta mengakibatkan ruam, iritasi dan perubahan Iain pada kulit,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-vaIerate hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli kesihatan dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, sebaliknya jika digunakan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Jelas beliau, penggunaan produk yang mengandungi hidrokuinon boleh menyebabkan ketidakselesaan, kemerahan dan berlaku perubahan pada warna kulit apabila disapu, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi serta meningkatkan risiko kanser kulit.

Produk yang mengandungi tretinoin pula mengakibatkan kulit pengguna produk kosmetik berkenaan menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif terhadap cahaya matahari.

Ujar beliau, lebih membahayakan lagi apabila produk yang mengandungi betamethasone 17-vaIerate menyebabkan perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh memberikan kemudaratan kepada pengguna produk beracun itu selain bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis serta mudah mengalami iritasi dan berjerawat.

Mengulas lebih lanjut, pengguna produk kosmetik tersebut dinasihatkan untuk menghentikan penggunaannya segera dan mendapatkan nasihat daripada ahli kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan serta digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik sebelum membuat pembelian dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan seharusnya menghentikan penjualan dengan serta-merta kerana penjualan dan pengedaran produk tersebut adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25 ribu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50 ribu atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan yang berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan pula dikenakan denda hingga RM50 ribu untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100 ribu untuk kesalahan yang berikutnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.