13 September 2023, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Youth Capsule (Y-Capsule) ialah satu inisiatif yang dicetuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Puan Yeoh Tseow Suan bertujuan memberikan kemudahan penginapan kepada golongan belia berkemahiran yang berhasrat untuk menjalani latihan industri, golongan pencari kerja dan golongan yang telah bekerja tetapi tidak memiliki tempat untuk menginap dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Pelaksanaan Program Y-Capsule tersebut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan mendapat kerjasama daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara, Majlis Belia Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran dan Persatuan Alumni MYCORPS.

Pusat Belia Antarabangsa (IYC) yang dilengkapi dengan kemudahan yang lengkap dan kedudukannya yang strategik di tengah bandar raya Kuala Lumpur sesuai dijadikan sebagai tempat penginapan kepada pihak yang berkaitan.

Selari dengan hasrat “Merakyatkan Fasiliti KBS”, IYC menyediakan lima bilik dormitori dengan kapasiti 54 katil yang dilengkapi dengan kemudahan lengkap untuk penginapan bagi program tersebut sekali gus menggalakkan lebih banyak belia mendapat motivasi untuk mendapatkan pekerjaan, khususnya individu yang datang dari luar bandar.

Kemudahan penginapan yang ditawarkan dengan kadar sebanyak RM10/hari itu kepada golongan belia yang berkelayakan, yakni warganegara Malaysia dan dalam lingkungan umur antara 18 tahun hingga 40 tahun dapat membantu meringankan beban mereka untuk mencari rezeki di ibu kota.

Pada masa yang sama, program tersebut turut menggalakkan lebih banyak belia yang berkemahiran dan memiliki produktiviti tinggi untuk memacu ekonomi negara dan seterusnya mengurangkan jurang sosial antara masyarakat ke arah mencapai kestabilan sosial dalam negara ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan slogannya leave no one behind.

Penggunaan kemudahan sedia ada juga dapat dimaksimumkan menerusi program tersebut dan pertumbuhan ekonomi juga mampu dijana dengan penyediaan keperluan asas sebagai permulaan kepada golongan belia.

Kemudahan penginapan yang akan mula beroperasi pada 15 September 2023 itu diharapkan dapat memberikan impak positif kepada pembangunan belia secara holistik dengan adanya kerjasama daripada semua pihak.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut mengenai terma dan syarat penginapan boleh didapati dalam laman sesawang rasmi IYC.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.