12 September 2023, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selaras dengan satu daripada teras dalam Malaysia MADANI, iaitu melahirkan masyarakat yang berdaya cipta tinggi, program Kembara Sains Borneo (KSB) Siri Kedua anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pusat Sains Negara (PSN) akan dilaksanakan di Sabah bermula 15 September ini.

Selain bermatlamat menyokong pelaksanaan Minggu Sains Negara, program tersebut juga bertujuan memastikan masyarakat di luar bandar, khususnya di Sabah tidak ketinggalan dalam menikmati pelbagai kemudahan yang dimiliki oleh PSN sekali gus meningkatkan minat masyarakat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Peranan MOSTI sangat mencabar kerana dipertanggungjawabkan untuk menjaga pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara dan untuk mencapai tujuan tersebut, MOSTI harus memastikan masyarakat mempunyai minat akan bidang sains dan meningkatkan pembudayaan pembelajaran sains dalam masyarakat,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Arthur Joseph Kurup ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Arthur Joseph Kurup (kiri) ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Dalam sesi temu bual itu, beliau menzahirkan kerisauan terhadap statistik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun lalu yang menunjukkan peratusan pelajar yang memilih bidang aliran sains lebih rendah berbanding dengan kemasukan pelajar ke aliran bukan sains.

Menurut beliau, data tersebut amat membimbangkan dan jika berterusan boleh mengakibatkan rakyat ketinggalan dalam era pembangunan yang moden ini kerana World Economic Forum telah menjangkakan sebanyak 69 juta pekerjaan baharu bakal diwujudkan dan memerlukan pengetahuan dalam bidang STEM bagi tempoh lima tahun ini.

Mengulas lebih lanjut, berdasarkan hasil kajian yang dilakukan telah menunjukkan antara punca pelajar kurang minat dalam bidang sains adalah disebabkan oleh kekurangan fahaman tentang mata pelajaran sains dan persepsi bahawa mata pelajaran ini susah serta kurang mendapat galakan daripada ibu bapa atau guru.

MOSTI mengambil pendekatan untuk melaksanakan program KSB ini bagi memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan menikmati kemudahan sains negara dan menunjukkan bahawa sains itu sesuatu yang menyeronokkan dan tidak sukar seperti yang dibayangkan.

Sebelum itu, KSB Siri Pertama telah dilaksanakan di daerah Kota Marudu, Pitas dan Kudat pada bulan lalu yang dijalankan oleh Akademi Sains Malaysia serta mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan adanya pelbagai pameran, sesi perkongsian dan aktiviti interaktif sama ada untuk pelajar sekolah ataupun masyarakat umum.

Antara bahan aktiviti interaktif yang digunakan dalam program KSB termasuklah permainan susun bongkah bagi memahami konsep ruang.

Jelas beliau, program KSB itu bukan sahaja menyediakan pameran tentang ilmu sains, malah terdapat juga sesi operasi dan pengendalian dron, cabaran kinetik, realiti maya, cerapan matahari, pameran berbentuk kubah yang membolehkan pelajar untuk memasukinya dan melihat tayangan astronomi serta merebut peluang memenangi hadiah yang ditawarkan menerusi pertandingan yang dijalankan.

Rakyat di negara ini dialu-alukan untuk menjayakan program KSB Siri Kedua yang akan diadakan di Kimanis pada 15 September 2023 hingga 17 September 2023, Tawau pada 22 September 2023 hingga 24 September 2023 dan Nabawan pada 29 September 2023 hingga 1 Oktober 2023.

Pada akhir sesi temu bual itu, beliau berharap program yang dibuka kepada semua lapisan masyarakat dan kemasukan secara percuma tersebut dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam bidang STEM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.