Oleh Firdaus Mul
7 September 2023, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran program Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) sepanjang September 2023 dilihat mampu meningkatkan literasi dan memperkasakan rakyat Malaysia dalam pembudayaan hidup sihat demi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat.

Program yang merupakan teras pertama dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat itu bukan sahaja memantapkan promosi budaya hidup sihat untuk rakyat, malah mengukuhkan jalinan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik dalam merancang dan melaksanakan aktiviti bagi pembudayaan hidup sihat secara lebih meluas.

“Menerusi program BMSS ini juga, orang ramai boleh melakukan saringan kesihatan kendiri bagi mengetahui status kesihatan masing-masing,” kata Pegawai Pendidikan Kesihatan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Encik Mohd Izhar Azrin Mohd Shah ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia, hari ini.

Pegawai Pendidikan Kesihatan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Encik Mohd Izhar Azrin Mohd Shah (kiri) ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia.

Dalam sesi temu bual itu, beliau turut berkongsikan beberapa dapatan hasil tinjauan perihal kesihatan rakyat Malaysia seperti indeks cara hidup sihat di negara ini pada tahun lalu menunjukkan empat daripada lima rakyat Malaysia hidup dalam keadaan yang tidak sihat.

Satu daripada rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis, tiga daripada 10 rakyat di negara ini menghidap hipertensi dan satu daripada dua rakyat Malaysia didapati mempunyai berat badan yang berlebihan dan obes.

Oleh hal yang demikian, beliau menegaskan bahawa program BMSS tersebut diwujudkan dengan maksud peralihan fokus kesihatan daripada tanggungjawab perubatan kepada tanggungjawab perubahan tingkah laku individu itu sendiri.

Selain pelancaran BMSS Peringkat Kebangsaan, program Kembara Bulan Malaysia Sihat Sejahtera yang melibatkan 116 buah sekolah terpilih di seluruh Malaysia dengan menyasarkan satu sekolah bagi setiap daerah adalah antara aktiviti lain yang diadakan sepanjang program BMSS tersebut berlangsung.

Sementara itu, program Wellness Month @ Lotus akan dilaksanakan pada hari kemuncak program BMSS, iaitu pada 30 September 2023 di Lotus Setia Alam yang menyasarkan penyertaan sebanyak 6000 orang di seluruh Malaysia bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.