Oleh Fauziah Bharum
6 September 2023, 21:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) dengan kerjasama Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-Care), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan seminar dalam talian yang bertajuk “Webinar Renal 2023: Latest Dietary Approach in Managing End Stage Renal Disease (ESRD)”.

Webinar yang telah direalisasikan dengan sokongan daripada Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) dan syarikat PharmD Sdn. Bhd. telah dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai dietetik, pensyarah dan kakitangan pelaksana Program Dietetik, FSK, UKM.

Webinar ini telah dirasmikan oleh Ketua Program Dietetik, FSK, Dr. Nor Aini Jamil @ A.Wahab yang menyifatkan penganjuran webinar sebegini dapat memberikan pendekatan terbaik dalam pengurusan penjagaan pemakanan pesakit buah pinggang.

Webinar ini juga diharapkan dapat memberikan pendedahan tentang kaedah terkini dalam pengurusan pesakit dan merungkai isu yang dihadapi dalam pengurusan pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Beliau turut mengharapkan agar webinar sebegini dapat diteruskan pada tahun mendatang seiring dengan peningkatan dan kemajuan dalam bidang klinikal bagi memantapkan pengurusan rawatan terapi diet kepada pesakit dengan lebih cemerlang.

Webinar yang memuatkan pelbagai pengisian, termasuklah kupasan isu terkini berkaitan terapi rawatan kegagalan buah pinggang dikongsikan oleh panel jemputan yang merupakan pakar dalam bidang masing-masing.

Antara panel jemputan yang diundang termasuklah Pakar Nefrologi di Hospital Cancelor Tuanku Muhriz (HCTM), Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Gafor; Pensyarah Kanan Program Dietetik, UKM, Dr. Harvinder Singh a/p Gilcharan Singh yang mempunyai kepakaran pengurusan pemakanan buah pinggang; pakar diet dari Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Puan Kher Pui Ling; dan pakar diet buah pinggang di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Puan Lau Wai Pooi.

Pakar Nefrologi di Hospital Cancelor Tuanku Muhriz (HCTM), Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Gafor berkongsikan maklumat tentang cara untuk bertahan apabila menghidap masalah kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Tidak hanya memfokuskan kepada sesi pengupasan teori dan isu terkini berkaitan rawatan kegagalan buah pinggang, webinar ini turut melibatkan sesi perbincangan dua hala, iaitu kajian kes antara peserta dan fasilitator jemputan, Puan Teong Lee Fang.

Di samping itu, terdapat aktiviti interaksi seperti kuiz yang dijalankan pada awal dan akhir sesi perkongsian bagi memastikan kefahaman peserta terhadap topik yang disampaikan.

Sebahagian daripada peserta “Webinar Renal 2023: Latest Dietary Approach in Managing ESRD” yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Sambutan yang amat memberangsangkan terhadap webinar ini terbukti dengan kehadiran lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada ahli dietetik daripada institusi kesihatan dalam dan luar Malaysia, pelajar dietetik daripada universiti awam dan swasta serta ahli profesional kesihatan yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.