Diterbitkan pada 5 September 2023, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang direkodkan setakat pukul 1.00 tengah hari menunjukkan lapan stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap yang baik, 56 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana, manakala tiga stesen, iaitu Shah Alam, Selangor (IPU 149), Kuching (IPU 152) dan Serian (IPU 152), Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap yang tidak sihat.

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu sederhana dan tebal dikesan daripada gugusan titik panas di selatan Kalimantan, manakala asap jerebu sederhana dikesan daripada beberapa titik panas di bahagian barat dan timur Kalimantan serta selatan Sumatera.

“Imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan 64 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia, 55 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia dan lapan titik panas dikesan di Sarawak (4) dan Sabah (4),” kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, peningkatan bacaan IPU di Sarawak adalah disebabkan oleh pergerakan angin dari arah tenggara yang telah membawa asap jerebu dari kawasan barat Kalimantan ke selatan Sarawak.

Tambah beliau, aktiviti pembakaran terbuka di kawasan berhampiran dengan stesen titik panas di Shah Alam juga mempengaruhi bacaan IPU dan keadaan ini akan disiasat dengan lebih lanjut oleh pegawai di Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri.

Dari semasa ke semasa, bacaan IPU di semua stesen titik panas dipantau oleh JAS serta penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka turut dilaksanakan.

Selain itu, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan untuk menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu yang berlaku.

Pada masa yang sama, pemantauan yang rapi di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri perlu dilakukan oleh semua pemilik tanah serta mencari inisiatif untuk mencegah pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada untuk tujuan tertentu ataupun secara tidak sengaja.

Mengulas lebih lanjut, pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis dimasuki atau dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hendaklah dielakkan.

Berdasarkan Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, denda tidak melebihi RM500 ribu atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan pembakaran terbuka serta kompaun maksimum sebanyak RM2000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan yang dilakukan.

Orang ramai digalakkan untuk melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan nasihat berhubung dengan kesihatan dan langkah pencegahan semasa berlakunya jerebu.

Sebarang kes pembakaran terbuka atau kebakaran juga boleh dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat dengan segera di talian 999 serta JAS di talian 1-800-88-2727.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi