28 Ogos 2023, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebagai satu daripada usaha Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam memastikan pengimportan ikan hidup bebas daripada bahan pencemar radionuklid, setiap konsainan perlu mempunyai Sijil Kesihatan Ikan daripada negara pengimport.

Berikutan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan melaksanakan pemeriksaan Tahap Empat (pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari Jepun untuk menganalis kandungan bahan radioaktif, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui DOF, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan memberikan kerjasama kepada KKM bagi memastikan hasil perikanan dalam pasaran adalah bebas daripada bahan pencemar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh DOF, semua pengimport konsainan ikan hidup perlu memohon permit import daripada MAQIS serta mematuhi syarat permit import yang telah dinyatakan oleh DOF dalam permit berkenaan.

Selain itu, peraturan import dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa di dalam negara ini juga perlu dipatuhi oleh semua pengimport produk hasil perikanan Jepun bagi memastikan makanan yang diimport adalah selamat.

Hasil perikanan seperti produk ikan sardin dan ikan makerel secara sejuk beku dari Jepun yang diimport adalah bagi tujuan makanan serta Malaysia hanya mengimport ikan hiasan (air tawar) seperti kap (Cyprinus carpio) bagi ikan hidup dari Jepun dan bukannya ikan marin.

KPKM melalui jabatan dan agensinya akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak dan memastikan Prosedur Operasi Standard Pemantauan tentang hal ini dilaksanakan secara berterusan agar bekalan makanan kepada seluruh rakyat Malaysia selamat dan terjamin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.