28 Ogos 2023, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jangkaan pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertusis (Tdap) kepada semua ibu hamil di Malaysia adalah pada tahun hadapan selepas urusan perolehan bekalan vaksin berkenaan selesai dan telah tersedia di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh KKM itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertusis, terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan yang merupakan kumpulan paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertusis serta mengalami komplikasi penyakit seperti pneumonia (radang paru-paru), ensefalopati (radang otak) dan kematian.

“Melalui antibodi di dalam badan ibu, vaksin Tdap itu dapat dipindahkan dan memberikan perlindungan kepada bayi dari dalam kandungan sehingga bayi tersebut lahir serta ibu perlu memastikan untuk melengkapkan tiga dos primer vaksin pertusis ketika bayi mereka berumur lima bulan,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, antibodi di dalam badan bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan yang optimum apabila bayi menerima tiga dos vaksin pertusis lengkap yang diberikan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Kini, KKM dalam usaha membuat perancangan rapi pelaksanaan pemberian vaksin Tdap yang akan diberikan kepada 500 ribu ibu hamil di seluruh negara pada setiap tahun dengan peruntukan tahunan berjumlah RM25 juta.

Semua ibu hamil termasuklah bukan warganegara akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika kehamilan trimester kedua atau trimester ketiga (antara tempoh kehamilan 13 minggu hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara apabila pemberian vaksin tersebut telah dilaksanakan kelak.

Berdasarkan rekod terkini hingga 23 Ogos 2023, sebanyak 343 kes pertusis dilaporkan dan 173 kes (50.4 peratus) daripadanya membabitkan bayi berumur bawah lima bulan, manakala 19 kematian daripada 24 kematian yang dicatatkan juga berlaku dalam kalangan bayi yang seusia bawah lima bulan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.