27 Ogos 2023, 18:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu Pahat – Universiti Sains Malaysia (USM) dinobat sebagai johan Pertandingan Debat Alam Sekitar ke-29 yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini, dengan mengalahkan pasukan pendebat dari 30 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang bertanding.

Suasana pusingan akhir Pertandingan Debat Alam Sekitar.

Dengan usul pusingan akhir, “Dewan Ini Menyokong Penempatan Semula Pelarian Iklim sebagai Tindak Balas Kemanusiaan Terhadap Perubahan Iklim,” pendebat USM selaku pihak kerajaan membawa pulang hadiah piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM8,000 dan sijil penyertaan.

Naib johan diraih Universiti Kebangsaan Malaysia yang membawa pulang hadiah piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil penyertaan. Pendebat Terbaik Liga dirangkul oleh Nursyahirah Balqis Shahrulnizam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, manakala Pendebat Terbaik Akhir dinobatkan kepada Muhamad Hafizi Mohd Hanafi dari USM.

Barisan panel hakim Pertandingan Debat Alam Sekitar pusingan akhir.

Pertandingan akhir dan majlis perasmian penutupan pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar, YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar yang mewakili Menteri Sumber Air, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut hadir ialah YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM dan YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap hakim akhir Pertandingan Debat Alam Sekitar.

Dato’ Wan Abdul Latif dalam ucapan perasmian berkata penganjuran pertandingan ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan di bawah kementerian untuk melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan memacu kelestarian alam sekitar.

“Idea-idea bernas yang dizahirkan oleh para pendebat mampu membuka mata dan minda masyarakat agar lebih prihatin terhadap alam sekitar,” ujar beliau.

Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT pertama kalinya telah diadakan pada tahun 1986 dan dijadikan acara tahunan bermula 1991 sehingga kini. Program ini merupakan anjuran Jabatan Alam Sekitar bersama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan DBP. Pusingan awal telah bermula pada 19 – 20 Ogos lepas secara dalam talian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.