27 Ogos 2023, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim berkongsi maklumat bahawa di Perlis sahaja, jumlah kematian pada tahun 2021 adalah sebanyak 1357 orang dan 17.7 peratus atau 240 daripada jumlah kematian tersebut adalah disebabkan oleh penyakit jantung Iskemia.

Statistik pada tahun 2021 juga menunjukkan bahawa penyakit jantung Iskemia telah menyumbang sebanyak 13.7 peratus kematian di Malaysia.

Demikian dipersembahmaklumkan oleh Datuk Dr. Aizai Azan kepada Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda berkenan berangkat merasmikan Program Saringan Kesihatan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN) bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di Dewan Kecemerlangan, UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim semasa berucap berkongsi maklumat jumlah kematian akibat serangan jantung di Perlis.

Keberangkatan tiba baginda merangkap Canselor dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP disambut oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Hj Zaliman Sauli dan Datuk Dr. Aizai Azan.

Program Corporate Social Initiatives (CSI) IJN ini dianjurkan dengan kerjasama UniMAP yang bertujuan untuk memberikan kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan kesihatan jantung dan menyediakan pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma di samping memberikan khidmat nasihat serta bimbingan menjalani gaya hidup sihat.

Pada kesempatan yang sama, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan kepada semua bahawa dewasa ini, terlalu banyak kes kematian mengejut berlaku dalam masyarakat. Perkara tersebut wajar dipandang serius kerana sindrom kematian mengejut yang tidak dapat dijelaskan (SUDS) seperti serangan jantung (malignant arrhythmia) yang banyak terjadi pada golongan muda yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik.

Tuanku Pemangku Raja juga berharap agar usaha murni ini akan terus membantu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih sensitif dengan tahap kesihatan masing-masing.

Sebagai rekod, sebanyak 300 orang membuat pemeriksaan kesihatan di UniMAP pada hari ini yang mencatatkan jumlah yang hampir sama seperti semalam di Wisma TNB Kangar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.