26 Ogos 2023, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 12 projek daripada 23 penyertaan dari Malaysia yang terdiri daripada projek yang memenangi Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) telah berjaya memenangi Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2023.

Bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN Ke-41 (AMEM), majlis penyampaian anugerah AEA 2023 tersebut diadakan di Bali, Indonesia.

“Kemenangan yang dicapai oleh para peserta yang mewakili Malaysia dalam AEA tersebut diharapkan menjadi perangsang kepada pemain industri lain untuk meneruskan usaha penerapan amalan tenaga lestari sebagai satu daripada cara memberikan komitmen dalam membantu mengurangan jejak karbon negara,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengetuai delegasi Malaysia ke AMEM berkenaan dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, industri, syarikat korporat dan individu digalakkan untuk menerajui usaha berkaitan dengan iklim bagi meningkatkan penerimaan amalan tenaga lestari sementara rantau ASEAN sedang menggiatkan usaha ke arah matlamat rendah karbon.

Penganjuran NEA juga adalah antara usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) untuk menggalakkan penerapan amalan terbaik tenaga lestari pada peringkat nasional bagi memberikan pengiktirafan dan mengenal pasti projek amalan terbaik tenaga lestari.

AEA merupakan anugerah yang diwujudkan dan melibatkan tiga kategori, iaitu Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Konservasi Tenaga, Anugerah Projek Tenaga Boleh Baharu dan Anugerah Teknologi Arang Batu Bersih untuk menggalakkan dan mengiktiraf penerapan amalan tenaga lestari oleh sektor awam dan swasta dalam kalangan negara ASEAN.

Layari Facebook rasmi NRECC untuk mendapatkan senarai lengkap pemenang AEA 2023 dari Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.