25 Ogos 2023, 18:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Anak panda gergasi, Yi Yi dan Sheng Yi akan dihantar pulang ke Republik Rakyat China (RRC) pada 29 Ogos 2023 bagi mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Malaysia dengan RRC.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Malaysia telah dipinjamkan sepasang panda gergasi, iaitu Xing Xing dan Liang Liang pada 21 Mei 2014 bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan RRC bagi tempoh 10 tahun bermula tarikh ketibaan pasangan panda gergasi tersebut di Malaysia.

Menerusi hasil kejayaan konservasi ex situ di negara ini, Liang Liang telah melahirkan tiga ekor anak betina, iaitu Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi.

Nuan Nuan telah dihantar pulang ke RRC pada tahun 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi akan dihantar pulang ke negara tersebut pada Selasa depan ekoran penghantaran pulang sebelum ini tertangguh kerana penutupan pintu masuk ke RRC akibat penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-17 Xing Xing dan Liang Liang telah dianjurkan oleh China Cultural Centre Kuala Lumpur dengan kerjasama Zoo Negara di Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara pada 23 Ogos 2023 lalu.

Selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara habitat dan spesies hidupan liar terancam, program tersebut juga memberikan peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua buah negara.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Encik Abdul Wahid Abu Salim selaku wakil NRECC, wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Pejabat Kedutaan Republik Rakyat China ke Malaysia, Malaysia-China Chamber of Commerce dan Malaysian Zoological Society.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.