25 Ogos 2023, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara dikesan setakat ini susulan pelepasan air terawat oleh kerajaan Jepun dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi pihaknya dengan kerjasama Kesatuan Eropah telah melakukan pemasangan Stesen Pemantauan Air Spektrum Gama (Gamma Spectrum Water Monitoring Station) untuk memantau sebarang peningkatan aras keradioaktifan secara masa nyata di perairan negara sebagai pengesanan amaran awal.

Data daripada stesen itu dipantau selama 24 jam dan tujuh hari seminggu di Pusat Pengurusan Tindakbalas Nuklear Kebangsaan, Ibu Pejabat Atom Malaysia, Dengkil, Selangor.

Berikutan pelepasan air terawat oleh kerajaan Jepun ke Lautan Pasifik, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang sentiasa dijadikan sebagai rujukan utama dalam melakukan aktiviti kawal seliaan membuat kesimpulan bahawa pendekatan dan aktiviti untuk melepaskan air yang dirawat Advanced Liquid Processing Systems adalah konsisten dengan piawaian keselamatan antarabangsa yang berkaitan.

Selain itu, berdasarkan dapatan yang diperoleh oleh IAEA, pelepasan air terawat ke laut adalah terkawal, dilakukan secara berperingkat dan kesan radiologi kepada manusia dan alam sekitar boleh diabaikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.