23 Ogos 2023, 18:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenakan pemeriksaan Tahap Empat (pengawasan) terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari Jepun untuk menganalisis kandungan bahan radioaktif di pintu masuk negara.

Tindakan tersebut diambil susulan langkah pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima bermula 24 Ogos 2023 sebagaimana yang diumumkan oleh pihak berkuasa Jepun.

Walaupun Jepun mengesahkan bahawa pelepasan sisa air radioaktif terawat tersebut adalah mengikut standard keselamatan di negara itu yang akan dilaksanakan secara berperingkat dan telah mendapat kelulusan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 4 Julai lalu, namun isu berkenaan telah mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa negara di Lautan Pasifik.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKM, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan menyatakan bahawa cemaran radionuklid di Malaysia dikawal di bawah Peraturan 37, Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Standard antarabangsa Codex telah mengeluarkan General Standard for Contaminants and Toxins in Food and Feed, CXS 193-1995 sebagai panduan untuk kawalan cemaran radionuklid dalam makanan.

Menurut beliau, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan terhadap produk makanan yang diimport dari Jepun bermula Mei 2011 hingga April 2012 selepas letupan loji nuklear akibat gempa bumi yang berlaku di Fukushima pada tahun 2011.

Tambah beliau, satu program pemantauan khusus turut dijalankan pada tahun 2019, yakni sebanyak 102 sampel telah dianalisis dan kesemua sampel tersebut didapati tidak melebihi kadar yang telah ditetapkan.

KKM peka dan prihatin terhadap keresahan pengguna di negara ini dan sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara serta pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan adalah terjamin.

Berdasarkan data KKM, sepanjang tempoh tahun 2022 hingga Jun 2023, produk makanan ikan dan hasil ikan adalah antara produk yang tertinggi diimport dari Jepun disusuli dengan produk buah-buahan, sayur-sayuran dan selebihnya ialah makanan dan minuman terproses dengan nilai keseluruhan berjumlah RM880 115 437.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.