21 Ogos 2023, 17:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tiga produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu BL Ledehh Day Cream 2, BL Ledehh Night Cream dan For U Night Cream (15 gram).

Orang awam dinasihatkan agar mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik tersebut kerana mengandungi merkuri, hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerat.

Susulan itu, kesemua notifikasi produk kosmetik berkenaan telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia lagi.

“Produk kosmetik yang mengandungi merkuri boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf kerana merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan, mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan dan menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerat perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan jika digunakan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Tambah beliau, antara kesan sampingan penggunaan hidrokuinon termasuklah kulit menjadi kemerahan, tidak selesa, berlaku perubahan pada warna kulit, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi serta meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan pula menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, pedih, mengelupas dan hipersensitif terhadap cahaya matahari.

Sementara itu, betamethasone 17-valerat dalam kosmetik memberikan kesan kepada kulit, yakni kulit menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, berlaku perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah.

Berikutan penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

Tegas beliau, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25 ribu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50 ribu atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya, manakala syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50 ribu untuk kesalahan pertama dan RM100 ribu untuk kesalahan yang berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik berkenaan perlu menghentikan penggunaannya dan jika mengalami sebarang ketidakselesaan, dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan dengan segera.

Bagi memudahkan orang awam mendapatkan maklumat berkenaan dengan hal ini, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Produk BL Ledehh Day Cream 2 dan BL Ledehh Night Cream mengandungi merkuri.
Produk For U Night Cream (15 gram) mengandungi Hidrokuinon, Tretinoin dan Betamethasone 17-valerate.

(Sumber gambar: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.