20 Ogos 2023, 18:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Karnival Minggu Sains Negara 2023 (MSN 2023) Peringkat Negeri Johor telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Tuan Chang Lih Kang di Stadium Tertutup Arena Larkin hari ini sebagai satu daripada usaha dalam merealisasikan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dengan memfokuskan pembangunan bakat STI berkualiti yang berdaya saing demi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu bermula semalam adalah anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berjaya menarik lebih daripada 10 781 penyertaan daripada komuniti setempat yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta orang awam.

“Karnival MSN 2023 pada kali ini bukan sahaja untuk meraikan kepelbagaian STI di setiap negeri, malah memberikan peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka yang tersendiri,” kata YB Tuan Chang Lih Kang dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sebanyak tujuh bidang utama yang menjadi fokus dalam MSN 2023 bermula April 2023 hingga Oktober 2023, iaitu kesihatan planet, kimia, bioteknologi, inovasi sosial, kejuruteraan, nanoteknologi dan angkasa.

Golongan sasaran yang disasarkan bagi setiap program di bawah MSN 2023 ini termasuklah pelibatan daripada pelbagai pemegang taruh seperti pelajar sekolah, belia kolej dan institusi pengajian tinggi, para guru, pemain industri serta orang awam.

Oleh hal yang demikian, pengisian program dalam MSN 2023 itu disusun dengan sebaik-baiknya bagi menarik minat pelajar sekolah rendah dan menengah terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan seterusnya memilih jurusan dalam bidang yang berkaitan dengan STI apabila melanjutkan pengajian.

Pelbagai pengisian interaktif ditawarkan sepanjang karnival berkenaan berlangsung termasuklah penyertaan daripada pelbagai agensi dan institusi dalam reruai pameran seperti Fakulti Sains, UTM yang mempamerkan pamerannya bertajuk All About Numbers, pameran tentang kegunaan bahan kimia oleh Jabatan Kimia Malaysia, demonstrasi sains dan bual bicara yang berteraskan STI serta mengikut kesesuaian masyarakat setempat.

Tidak ketinggalan, aktiviti amali berteraskan STI turut disediakan seperti pencerapan solar, cabaran dron, pertunjukan sains interaktif, aktiviti robotik, Dibuat Individu dengan Yakin (DIY) roket STEM, realiti maya planet dan bicara saku (pocket talk) STI.

MOSTI berharap menerusi karnival ini dapat memberikan manfaat kepada semua pengunjung dan kerjasama erat yang telah terjalin akan membuahkan hasil dalam membangunkan bakat berkualiti, terutamanya dalam bidang STI di negara ini.

Sebarang pertanyaan mengenai Minggu Sains Negara boleh melayari laman sesawang rasmi MSN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.