Oleh Melissa Lo
18 Ogos 2023, 18:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan – Program Robotics Programming Class for Young Leaders 2023 anjuran kumpulan pelajar Tech Together dari Fakulti Graduate School of Business (GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya memupuk minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sekali gus memberikan peluang kepada mereka untuk meneroka dan memahami bidang tersebut dengan lebih mendalam.

Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Port Dickson itu dianjurkan dengan kerjasama Guru Panitia Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) sekolah berkenaan serta dikendalikan oleh Aiszzy Electronics Enterprise selaku tenaga pengajar profesional.

Timbalan Dekan UKM, YBrs. Dr. Mara Ridhuan Che Abdul Rahman (tiga dari kanan baris hadapan) bersama-sama pelajar Fakulti GSB, UKM.

“Kelas pengaturcaraan robotik ini dijalankan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar dengan komponen asas elektronik dan pengaturcaraan yang akan digunakan untuk pembinaan robot,” kata Timbalan Dekan UKM, YBrs. Dr. Mara Ridhuan Che Abdul Rahman ketika merasmikan program berkenaan.

Tambah beliau, kerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan juga dapat menerapkan unsur kemahiran halus dalam diri setiap pelajar sekali gus memupuk semangat kerjasama, meningkatkan komunikasi dan mencungkil bakat masing-masing sebagai pemimpin pada masa hadapan.

Sesi membina dan mengatur cara robot.

Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta berpeluang mempelajari asas robotik termasuklah komponen robotik, cara membina dan mengatur cara robot.

Dengan adanya program seumpama ini, pihak penganjur telah berjaya merealisasikan pembelajaran teori dan teknikal berkaitan robotik dengan melibatkan pelajar dalam pembinaan robot Obstacle-Avoidance Cars serta membantu pelajar menyokong teori yang telah dipelajari dalam mata pelajaran RBT.

Robot Obstacle-Avoidance Cars.

Sebelum program melabuhkan tirainya, Pengetua SMK Tinggi Port Dickson, Encik Razali Md Taib merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur program tersebut kerana mampu mewujudkan pendekatan yang berbeza dalam cara pembelajaran kepada para pelajar dan guru.

Program seperti ini bukan sahaja menjadi permulaan kepada pembentukan komuniti robotik di sekolah yang kompetitif, malah berpeluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak universiti pada masa hadapan.

Turut hadir dalam program itu ialah wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson, Puan Hajah Faezia Salleh yang memantau keberkesanan program tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.